Friday, July 24, 2015

Proses tutup Guantanamo di peringkat akhir


AFP - GAMBAR fail yang dirakam pada 8 April 2014 ini menunjukkan salah satu menara kawalan di penjara tentera Teluk Guantanamo, Cuba.


WASHINGTON – Pihak White House kini di peringkat akhir dalam pelan penutupan penjara kontroversi di Teluk Guantanamo dan bakal mengemukakannya kepada penggubal undang-undang bagi tujuan semakan, kata jurucakapnya, Josh Earnest kelmarin.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sebelum ini menyatakan penutupan penjara di Cuba itu sebagai salah satu keutamaannya ketika mengambil alih tugas pada tahun 2009.
Pelan itu bagaimanapun berdepan dengan pelbagai halangan, termasuk sekatan Kongres terhadap pemindahan tahanan ke penjara AS.
“Kerajaan secara jelas berada di tahap akhir bagi merangka pelan dengan selamat dan bertanggungjawab (penutupan) penjara di Teluk Guantanamo sekali gus menyerahkannya kepada Kongres.
“Ia sedang diusahakan oleh pihak keselamatan negara sejak sekian lama memandangkan perkara tersebut merupakan satu keutamaan kepada Presi­den,” ujar Earnest.
Earnest memberitahu pemberita bahawa operasi penjara tentera di Cuba itu bukan suatu yang efektif terhadap sumber kerajaan.
“Ia satu tugas yang sukar tetapi kami telah membuat banyak perkembangan yang baik,” tambahnya.
Pangkalan tentera AS di Guantanamo juga mendapat tentangan daripada kerajaan Cuba. Cuba menyatakan bahawa Washington menduduki tanah­nya secara haram. Washington baru-baru ini telah memulihkan hubungan diplomatik dengan negara tersebut.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez ketika berada di Washington Isnin lepas, meminta wilayah tersebut dipulangkan semula kepada Cuba selain penarikan sekatan AS terhadap negara komunis.
Dalam pada itu, Earnest menyatakan Washington telah menghantar banduan Guantanamo ke negara-negara kelahiran mereka atau negara dunia ketiga secara berperingkat sebagai satu usaha yang perlu dilakukan bagi merealisasikan penutupan fasiliti tersebut.
Pada Jun lepas, seramai enam orang tahanan dari Yemen telah dipindahkan ke Oman, manakala banduan lain perlu menjalani proses pendakwaan atau dikaji semula sebelum dibebaskan.
Penjara tentera Guantanamo dibuka pada Januari 2002 sejurus selepas kejadian serangan 11 September 2001 ke atas AS. Penjara itu pernah dihuni sehingga 680 tahanan pada 2003 dan pada masa kini masih mempunyai 116 tahanan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3glCv7k00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment