Wednesday, August 5, 2015

Dana RM2.6 bilion bukan kesalahan jenayah


SHARILFUDDIN SAARI 
DAN ZAZALI JAMIAN  |  05 Ogos 2015 1:12 AM




KUALA LUMPUR 4 Ogos - Dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan sumbangan penderma dalam kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) dan perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa ataupun kesalahan jenayah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sumbangan daripada penyokong biasanya dimasukkan ke dalam akaun parti atau akaun peribadi milik individu yang amat dipercayai dalam sesebuah parti untuk digunakan bagi kerja-kerja politik.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berpendapat, setiap seorang yang terlibat dalam politik pastinya ada menerima sumbangan derma daripada penyokong mereka sendiri dan itu bukan perkara yang unik untuk dipertikaikan.
“Saya difahamkan dana tersebut datang daripada penderma serta penyokong dan kita berpegang kepada kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tiada undang-undang di Malaysia yang melarang parti politik daripada menerima sumbangan daripada penyokong mereka sendiri dan itu bukan satu kesalahan.
“Saya juga percaya selain Barisan Nasional (BN) dan UMNO, parti-parti politik di Malaysia juga pasti ada menerima sumbangan derma daripada penyokong mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran NBL Asia Sdn. Bhd di Gem in Mall di Cyberjaya hari ini.
Semalam, SPRM mendedahkan dana 2.6 bilion itu adalah sumbangan penderma dan bukannya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suruhanjaya itu juga memberitahu laporan hasil siasatan berkaitan dana tersebut telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.
Di PERLIS, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata sejak dahulu lagi semua parti politik sama ada DAP, Pas, PKR mahu pun UMNO ada menerima sumbangan dana untuk tujuan politik.
“Perkara ini (sumbangan dana) dibenarkan oleh undang-undang, cuma tiada peruntukan yang mewajibkan parti politik mendedahkan siapa penderma dan jumlahnya.
“Perdana Menteri sendiri pernah menyokong untuk mewujudkan peruntukan undang-undang bagi mendedahkan penyumbang dana tetapi ditentang oleh parti politik lain.
“Mereka enggan kerana bimbang boleh menjejaskan jumlah sumbangan jika nama penyumbang tersebut didedahkan,” katanya yang ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dana-rm2-6-bilion-bukan-kesalahan-jenayah-1.120727#sthash.EPmlndhY.dpuf

No comments:

Post a Comment