Penasihat Amnesty International, Joanne Mariner berkata, selepas berjaya memaksa berpuluh-puluh ribu penganut Islam melarikan diri dari barat CAR, kumpulan militan anti-Balaka kini melakukan penindasan agama ke atas beratus-ratus umat Islam.
Badan hak asasi manusia itu dalam satu laporan bertajuk ‘Memadam Identiti, pembasmian umat Islam di CAR’ mendedahkan, penganut Islam dilarang daripada mengamalkan agama mereka terutama di kawasan yang dikuasai oleh kumpulan militan anti-Balaka.
“Ada sejumlah daripada umat Islam dipaksa menganut agama Kristian atau berhadapan ancaman bunuh.
“Kawasan ini tidak dikawal pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ini memudahkan mereka menjadikan umat Islam sebagai sasaran,” jelas laporan itu.
Laporan tersebut turut menyatakan, sembahyang diharamkan selain penggunaan pakaian tradisional Islam tidak dibenarkan dan sebarang usaha untuk membina masjid dihalang.
Sehingga kini lebih 400 buah masjid dan surau yang berada di sekitar barat CAR telah dimusnahkan oleh kumpulan militan berkenaan.
“Kami diharamkan untuk mengerjakan solat di sana. Untuk bersembahyang kami perlu melakukan dengan cara bersembunyi, cepat dan tidak boleh secara berjemaah,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali.  AFP