Julie Bishop
NEW YORK 28 Sept. – Menteri Luar Australia, Julie Bishop (gambar) meningkatkan kempennya untuk menubuhkan sebuah tribunal jenayah bebas sebagai satu cara terbaik untuk mencari keadilan bagi mangsa-mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Portal berita sbs.com.au melaporkan, kempen yang dilakukan Bishop itu bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap nahas pesawat MH17 dibawa kemuka pengadilan.
“Keadilan yang lewat adalah satu kegagalan,” kata Bishop kepada AAP di New York sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula hari ini.
Beliau esok dijangka bertemu dengan wakil-wakil dari Belgium, Malaysia, Belanda, dan Ukraine.
Mesyuarat peribadi gabungan pemimpin siasatan bersama itu akan mempertimbangkan cara terbaik bagi membawa pesalah ke muka pengadilan.
Seramai 38 warga Australia adalah antara 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban apabila pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai tahun lalu.
Bishop bagaimanapun tidak membangkitkan isu itu ketika bertemu Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov di New York, semalam.
“Sebaik-baik sahaja kita memiliki pendirian yang jelas, maka tiba masanya untuk berbincang dengan Rusia.
“Kami percaya pilihan yang terbaik ialah sebuah tribunal jenayah bebas yang disokong Majlis Keselamatan PBB,” katanya.
Rusia menggunakan kuasa vetonya menyekat usul penubuhan sebuah tribunal sebelum ini dengan alasan perlu menunggu sehingga semua laporan insiden tersebut lengkap.
No comments:
Post a Comment