GEORGE TOWN: Mi goreng mamak hasil air tangan warga emas, Abdul Karim Pakir mendapat sambutan hangat di kalangan penduduk Pulau Pinang selepas kisahnya disiarkan dalam akhbar The Star.
Kebiasaannya, beliau hanya menjual lebih 20 pinggan mi goreng setiap hari.
Namun, semasa waktu makan tengah hari Rabu, peniaga berusia 92 tahun itu tidak menang tangan kerana permintaan terhadap mi gorengnya bertambah.
"Pada hari biasa, ada kalanya saya mendapat tidak sampai 20 pelanggan. Saya gembira kerana dapat menjual lebih banyak mi goreng hari ini.
"Saya sibuk tetapi ia sesuatu yang memuaskan hati," katanya ketika ditemui di gerainya di Tamil Street.
Salah seorang pelanggan baharu, Sanjay CS, 42, membeli tujuh bungkus mi goreng selepas menikmati dua pinggan mi tersebut bersama ibu dan jirannya.
"Kami memutuskan untuk memberi sokongan kepada Abdul Karim selepas membaca kisahnya di dalam akhbar The Star.
"Semangatnya patut dipuji kerana beliau tidak berhenti berniaga disebabkan faktor usianya dan hanya mendapat keuntungan minima dengan mengenakan harga RM2.50 untuk sepinggan mi goreng," kata Sanjay yang juga pengasas UnityPenang.
Seorang ahli perniagaan, Tan Chin Chin, 35, turut membawa rakannya yang bekerja di luar kawasan untuk menikmat mi goreng tersebut selepas membaca mengenai kisah peniaga tersebut di dalam akhbar Bahasa Inggeris itu.
Tan berkata beliau sentiasa terlepas gerai tersebut walaupun sering melalui kawasan berkenaan dan berhasrat untuk mencuba mi goreng hasil tangan chef berusia 92 tahun itu.
"Melihat kepada cara beliau memasak, anda boleh lihat ia bukan mudah untuknya pada usia itu. Namun agak seronok melihatnya mengendalikan gerai itu selama beberapa dekad," katanya.
Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 45, berkata harga mi goreng tersebut amat berbaloi dengan wang anda.
"Pada RM2.50, ia harga yang sukar untuk ditolak. Saya memandu dari Batu Lanchang selepas terbaca kisah peniaga ini," katanya.
Seorang pembaca turut menulis kepada The Star dan menawarkan untuk memasang lampu di gerai milik warga emas itu selepas peniaga berdekatan memberitahu gerai Abdul Karim akan bergelap pada waktu malam kerana tiada lampu.
Exco Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Felix Ooi berkata pegawai MBPP kebiasaannya akan melakukan rondaan setiap hari tetapi aduan boleh dibuat di hotline 04-2637637 dan isu tersebut akan ditangani jabatan kejuruteraan mereka.
No comments:
Post a Comment