Saturday, November 14, 2015

Nilai lebih lanjut pelaburan 1MDB: Zeti

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai lebih lanjut pelaburan luar negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebaik semua maklumat yang diminta diperoleh dan disahkan, kata Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Selain itu, katanya, pelan penyusunan semula syarikat itu yang dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini juga akan diambil kira, sambil menambah sebarang penilaian yang dibuat sebelum itu dianggap sebagai terlalu awal.
"Jadi, BNM kini menilai maklum balas 1MDB kepada arahan pentadbiran ini, dan 1MDB sudah menyatakan secara umum bahawa dana bagi penebusan pelaburan luar negara ini sudah digunakan dan juga diperuntukkan bagi pertukaran hutang-bagi-aset sebagai sebahagian pelan penyusunan semula mereka.
"Jadi bank pusat sedang mengesahkan ini sekarang... dan akan mengambil kira sebarang komitmen terikat yang dibuat 1MDB di bawah pelannya yang akan membantu mengurangkan bebanan hutangnya," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga negara di Bank Negara di sini, hari ini.
Zeti berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai bila bank pusat akan meneruskan siasatannya terhadap kegagalan 1MDB untuk menghantar pulang US$1.83 bilion pelaburan luar negaranya.
Bulan lalu, bank pusat mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada syarikat itu untuk menghantar pulang dana berkenaan. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:31 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92881#sthash.O8DREBvw.dpuf

No comments:

Post a Comment