Monday, November 16, 2015

Taktik IS Ugut Pemimpin Tak Akan Berjaya - Hishammuddin


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 6:18 PM
hishammuddin

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan tunduk kepada pengganas walaupun mereka menggunakan taktik mengugut beberapa pemimpin negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia dan negara-negara Asean sudah sepakat untuk membanteras habis-habisan kegiatan keganasan, justeru tindakan mengugut pemimpin tidak akan membuahkan kejayaan.

“Kalau mereka cuba ugut dan menakut-nakutkan kita, ia tidak akan berjaya kerana azam kita untuk menentang kumpulan seperti ini.

“Pengganas ini walaupun fenomena mereka berbeza dan ia baru, ia tidak ada beza dengan penentangan kita terhadap al-Qaeda dan lain-lain kumpulan pengganas sebelum ini kerana mereka merupakan risiko kepada keselamatan dan pertahanan negara…itu merupakan pegangan kita walau dalam apa juga keadaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, menerima ugutan kumpulan pengganas bukan baharu bagi dirinya tetapi beliau merasakan maklumat ini perlu didedahkan atas beberapa faktor terutama susulan insiden serangan di Paris.

Katanya, secara peribadi beliau melihat ancaman yang diterimanya sebagai percubaan untuk menakut-nakutkan dirinya.

“Tetapi ia sebenarnya lebih memberikan kita semangat untuk menentang IS.

“Saya hanya boleh bercakap tentang saya. Tetapi ini adalah informasi yang bukan baharu. Saya sengaja mendedahkan perkara ini, pertama kali kerana perkembangan di Paris membimbangkan.

“Kedua saya nak suntik tindakan kesegeraan dalam konteks keselamatan negara dan ketiga untuk semua pihak jangan ambil mudah ancaman yang terpaksa kita hadapi khususnya dalam konteks IS ini,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, Malaysia tidak mustahil akan menerima nasib yang sama dengan negara-negara yang pernah diserang pengganas jika kawasan tertentu khususnya di selatan Thailand dan Filipina tidak dikendalikan dengan baik.

“Perjalanan manusia tanpa sempadan, penyeludupan, bukan sahaja dadah tetapi senjata, ini merupakan sesuatu yang kalau pihak keselamatan tidak ambil kira dalam perkembangan yang kita lihat di Eropah dan Timur Tengah, jangan ingat bahawa nasib yang sama tidak boleh menimpa kita di Malaysia.

Ditanya mengapa Malaysia menjadi sasaran IS, beliau berkata ia mungkin disebabkan pendirian tegas Malaysia untuk menentang keganasan bersama negara-negara Asean lain.

“Asean semua sepakat menentang mereka. Menentang IS ialah pendirian Malaysia. Mereka buat ini mungkin mahu menakut-nakutkan kita untuk menerima perjuangan dan agenda mereka,” katanya.

Pada Ahad, Hishammuddin mendedahkan bahawa militan IS telah menyenaraikan beberapa pemimpin Malaysia dalam senarai sasaran mereka, termasuk dirinya sendiri.

No comments:

Post a Comment