Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar Arab Saudi turut melancarkan sebuah laman web pilihan raya, intekhab.gov.sa yang menerangkan semua butiran tentang proses pilihan raya itu yang pernah diadakan pada 2005 dan 2011.
Anggota Jawatankuasa Eksekutif dan Ketua Media bagi Pilihan Raya, Hamad Al Omar berkata, satu talian bebas tol juga diwujudkan bagi membantu pengundi di samping satu aplikasi sistem pengundian yang boleh diakses menerusi telefon pintar.
Kementerian memper­kenalkan langkah-langkah itu bagi memastikan kempen pilihan raya dibuat dengan bebas, berkesan dan mudah dengan jawatankuasa eksekutif telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi supaya semua pendekatan tersebut sampai kepada pemilih.
“Agak penting bagi pengundi untuk memilih calon yang betul. Wakil yang di­pilih dijangka meningkatkan lagi perkhidmatan majlis perbandaran dan terlibat dalam pembangunan kawasan perumahan, perkampungan, dan bandar-bandar,’’ kata Hamad sebagaimana lapor portal Arab News.
Proses pendaftaran pengundi dibuat di Mekah dan Madinah pada 16 Ogos lalu, manakala wilayah selebihnya di Arab Saudi dibuat pada 22 Ogos lalu yang berterusan selama 21 hari.