Wednesday, December 16, 2015

1MDB: Polis Selesai Ambil Keterangan Justo


Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2015 2:26 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu mengesahkan polis telah selesai merakam keterangan warga Switzerland, Xavier Andre Justo berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di penjara di Bangkok pada Selasa.
Menurutnya, Justo ketika ditemu bual telah memberi kerjasama yang amat baik kepada Polis Diraja Malaysia(PDRM).
"Pegawai saya akan pulang hari ini.. nanti mereka akan membentangkan hasil temu bual mereka dengan Justo," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis PDRM 'Green Day Programme' di sini.
Bagaimanapun, Khalid enggan mendedahkan perkara-perkara yang dibangkitkan ketika temu bual dengan bekas pekerja PetroSaudi International tersebut.
Tambah beliau, kes berkaitan Justo dijangka selesai selepas polis menerima dokumen-dokumen berkaitan kes terbabit daripada pihak berkuasa Thailand.
Pada Selasa, pasukan PDRM yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman(Siasatan/Perundangan) Datuk Amar Singh Ishar Singh ditugaskan untuk mengambil kenyataan daripada Justo.
Justo dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan pada 17 Ogos lalu selepas mengaku mencuri 90 gigabait data termasuk e-mel, dokumen dan bahan lain daripada PetroSaudi International sebagai cubaannya untuk memeras ugut.
PDRM cuba mendapatkan keterangan daripadanya sejak beberapa bulan lalu.

No comments:

Post a Comment