Saturday, December 26, 2015

Beli Simulator Golf Hasil Pendapatan Perniagaan, Bukan Duit Jariah - KP YAPEIM


Diterbitkan: Jumaat, 25 Disember 2015 7:59 PM
Abibullah Samsudin

KLANG: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa yayasan itu membeli simulator golf menggunakan sumbangan jariah orang ramai.

Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin berkata sebaliknya simulator itu dibeli hasil daripada pendapatan perniagaan yayasan itu.

"Kita tak guna sumber amal jariah (untuk pembelian simulator golf) kerana kita jalankan perniagaan dan ada sumber-sumber kewangan sendiri yang kita gunakan untuk kembangkan perniagaan lain," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kewangan pendidikan kepada waris lima sekeluarga yang mati lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, Sabtu lepas.

Abibullah berkata simulator golf yang kini ditempatkan di bangunan sembilan tingkat milik YaPIEM di Petaling Jaya, dekat sini juga akan dijadikan pusat kecergasan dalaman apabila bangunan itu dinaik taraf kepada hotel bertaraf empat bintang kelak.

Katanya YaPIEM mengambil pendekatan membentuk masyarakat untuk bersukan termasuk golf dan menerusi pembelian simulator itu, permainan tersebut boleh dimain tanpa mengira cuaca kerana ia ditempatkan dalam bangunan.

Pada 17 Disember lepas, Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) dilapor mempersoal pembelian simulator golf berkenaan dan meminta YaPEIM menjelaskan keperluan memiliki permainan itu yang dilabel sebagai peralatan mewah.-Bernama

No comments:

Post a Comment