AFP - DUA buah kapal perang yang dijual oleh AS kepada Taiwan kelihatan berlabuh di sebuah pangkalan tentera laut di selatan Keelung semalam.
|
BEIJING – China telah memanggil duta Amerika Syarikat (AS) bagi membantah penjualan kapal perang Washington kepada Taiwan sebagai sebahagian daripada pakej kelengkapan tentera bernilai AS$1.8 bilion (RM7.8 bilion), kata Beijing semalam.
Taipei akan menerima pelbagai jenis peluru berpandu, kenderaan serangan amfibia dan dua kapal frigat dalam perjanjian baharu itu yang menyusul ketika AS berusaha merapatkan rakan dan sekutunya di Asia.
“China menentang keras jualan senjata AS kepada Taiwan,” jelas satu kenyataan daripada Kementerian Luar China ketika diplomat AS, Kaye Lee dipanggil untuk mendengar bantahan Beijing.
Kenyataan itu menegaskan Beijing akan mengenakan sekatan terhadap mana-mana syarikat yang terlibat dalam perjanjian tersebut dan memberi amaran kepada Washington agar membatalkan perjanjian berkenaan bagi ‘mengelakkan hubungan dua hala Sino-AS terjejas’.
Walaupun diperintah secara berasingan sejak perang saudara berakhir pada 1949, China menganggap Taiwan sebagai satu wilayah berpaling tadah yang menunggu masa untuk disatukan semula.
Beijing kerap menyelar Washington dan kuasa besar lain kerana berurusan dengan Taipei yang dilabel sebagai ‘campur tangan’ dalam urusan dalaman orang China.
Penjualan senjata AS itu, yang pertama kepada Taiwan sejak empat tahun lalu, dibuat ketika keadaan semakin tegang di Asia Timur apabila China menempatkan asetnya secara agresif di kawasan tuntutan bertindih dengan jiran-jirannya sehingga meningkatkan kegusaran AS dan sekutunya seperti Jepun serta Filipina.
China kini sedang membina beberapa buah pulau dengan lapangan terbang gred ketenteraan di Laut China Selatan, sebahagian daripada apa yang disifatkan pemerhati sebagai usaha untuk mengawal hampir keseluruhan kawasan perairan tersebut. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3ucRXm6bL
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment