ZAGREB, Croatia – Seorang aktivis hak asasi manusia malu besar selepas seluarnya terlondeh ketika dia menerima satu anugerah daripada Presiden Croatia, Kolinda Grabar-Kitarovic di Zagreb kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Helsinki di Croatia, Ivan Zvonimir Cicak baru memegang anugerah tersebut ketika seluarnya tiba-tiba jatuh hingga ke pergelangan kakinya di hadapan media tempatan dan antarabangsa.
Cicak bagaimanapun bertindak pantas menarik kembali dan membetulkan seluarnya.
Dia bernasib baik kerana seluar dalamnya tidak kelihatan apabila dilindungi sijil besar anugerah tersebut yang dipegang Grabar-Kitarovic sekali gus mengelakkan kejadian lebih memalukan kepada warga emas itu.
Grabar-Kitarovic juga kelihatan kekal tenang dan bertindak secara diplomatik melindungi ‘kehormatan’ ketua hak asasi negaranya sepanjang insiden itu meskipun turut tersenyum ketika melihat Cicak tunduk untuk menarik kembali seluarnya.
Kebanyakan individu lain yang berdiri bersama Grabar-Kitarovic dan Cicak ketika majlis tersebut tidak menyedari kejadian itu kerana sedang menumpukan perhatian ke arah kamera.
Anugerah itu disampaikan kepada Cicak dan ahli-ahli jawatankuasa tersebut untuk hasil kerja mereka menjelang Hari Hak Asasi Manusia antarabangsa 2015 yang disambut pada 10 Disember setiap tahun. – Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3txqKO2WS
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment