BANGKOK: Kerajaan Thailand mahukan pelawatnya 'jatuh cinta pandang pertama' apabila tiba di negara itu, namun pada masa sama ia juga mahukan 'pelawat yang baik-baik' sahaja.
Itulah matlamat pihak berkuasa Thailand yang menganjurkan kempen 'Love at First Sight' (Cinta Pandang Pertama) bermula 24 Dis hingga 4 Jan depan yang menyaksikan pelbagai program diadakan untuk menyambut ketibaan pelancong di lapangan terbang utamanya -- Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Don Mueang dan Phuket.
Pada masa sama lebih 100 pegawai yang menyamar turut ditempatkan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi bagi memantau pihak-pihak mencurigakan untuk mengelakkan ancaman keselamatan terhadap negara, kata Pesuruhjaya Biro Imigresen Lt. Jen. Polis Nathathorn Prousoonthorn pada pelancaran kempen, di sini.
Sementara itu, Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Siroj Duangrat berkata sepanjang tempoh berkenaan, lapangan terbang tersebut dijadual mengendalikan 222 penerbangan sewa khas dan penerbangan harian biasa dengan unjuran 172,700 penumpang setiap hari.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 142,800 adalah penumpang antarabangsa.
Ini merupakan peningkatan sekitar 20 peratus berbanding tempoh-tempoh biasa, katanya.
Mengulas lanjut mengenai kempen, Komander Imigresen Divisyen 2, Mejar Jen. Polis, Thatchai Pitaneelaboot yang bertangungjawab terhadap Lapangan Terbang Suvarnabhumi, berkata aktiviti itu bertujuan menghiburkan pelawat yang baharu tiba.
"Mereka tiba menerusi penerbangan jarak jauh dan memerlukan rehat. Selain itu, kita juga akan memastikan proses dokumentasi mengambil masa paling lama setengah jam agar mereka tidak perlu berbaris lama," katanya menambah pegawai imigresen turut ditambah.
Beliau berkata secara purata, setiap hari antara lima dan 10 orang dari pelbagai negara tidak dibenarkan memasuki negara itu di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Angka itu kecil berbanding kira-kira 35 juta pengembara yang menggunakan lapangan terbang tersebut setiap tahun, katanya.
Pada masa sama, bilangan yang 'jatuh cinta' dengan Thailand sehingga tinggal melebihi tempoh juga agak ramai iaitu antara 4,000 dan 5,000 orang, katanya.
Menurutnya golongan itu berdepan hukuman disenarai hitam daripada memasuki Thailand selama tiga tahun atau lebih jika ditangkap semasa operasi yang dijalankan dalam tempoh tiga bulan selepas ketibaan mereka di Thailand.
No comments:
Post a Comment