Berdasarkan laporan portal Pusat Pengajian Antarabangsa dan Strategik (CSIS) yang beroperasi di Washington, gambar satelit baru-baru ini menunjukkan pembinaan tersebuat dijalankan di kawasan Terumbu Fiery Cross yang kini menjadi sebuah pulau besar.
Jelas laporan itu, landasan kapal terbang terbabit dianggarkan berukuran 3,110 meter panjang dan proses pembinaan kemudahan tersebut telah siap satu pertiga.
“Sebaik-baik sahaja landasan itu siap dibina sepenuhnya, China mempunyai kemampuan untuk mendaratkan segala jenis pesawat termasuk aset tentera.
“Malah keluasan Terumbu Fiery Cross membolehkan China membina bangunan menyimpan dan menyelenggara pesawat,” tambah CSIS.
Sebelum ini, CSIS melaporkan, kurang empat minggu lalu, gambar satelit menunjukkan dua seksyen dengan ukuran masing-masing 468 meter dan 200 meter masih dalam pembinaan.
Tambah portal terbabit, sebelum pembinaan itu, China kekurangan upaya untuk mengisi bahan bakar dan bekalan bagi meneroka bahagian selatan Laut China Selatan.
Pembinaan landasan itu berada di kawasan rebutan rangkaian Kepulauan Spratly yang turut dituntut beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina, Malaysia dan Vietnam yang masing-masing menempatkan tentera dan membina lapangan terbang sejak 1970-an.
Selasa lalu, Presiden Filipina, Benigno Aquino III memberi amaran bahawa aktiviti Beijing di wilayah pertikaian itu boleh mencetuskan kebimbangan dunia termasuk kemungkinan konflik ketenteraan. – AFP