Saturday, April 18, 2015

AS hantar 300 tentera payung terjun ke Ukraine


GAMBAR yang dirakam pada 9 April lalu menunjukkan pasukan payung terjun Ukraine menjalani latihan taktikal di Zhytomyr.


KIEV – Seramai 300 tentera payung terjun dari Amerika Syarikat (AS) tiba di Ukraine minggu ini bagi melatih pengawal kebangsaan negara itu yang sedang berjuang menentang pemberontak pro-Rusia di bahagian timur, demikian menurut satu kenyataan tentera AS.
Pasukan tentera dari 173rd Airborne Brigade itu tiba Selasa dan Rabu lepas di Yavoriv, barat Ukraine bagi menjalani latihan selama enam bulan bersama tiga batalion tentera negara tersebut.
Ia mungkin menimbulkan kemarahan Rusia yang menuduh AS menyokong protes menjatuhkan presiden pro-Rusia, Viktor Yanukovych tahun lepas sehingga mencetuskan konflik kepada pengikut setia Kiev dan Moscow.
Barat menuduh Rusia membekalkan senjata kepada puak pemisah yang telah menguasai beberapa kawasan di timur Ukraine, satu tuduhan yang dinafikan oleh Moscow.
Pertempuran antara puak pemisah dan tentera Ukraine masih berterusan di bahagian timur walaupun satu perjanjian gencatan senjata dibuat pada Februari lepas.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga kini seramai 6,000 orang telah terkorban dalam pertempuran tersebut.
Tentera AS akan melatih pasukan Pengawal Kebangsaan Ukraine (NGU) iaitu pasukan simpanan yang ditubuhkan untuk membawa sukarelawan dan kumpulan militia di bawah kawalan kerajaan.
“Kami akan mengendalikan kelas mengenai fungsi pertempuran perang termasuk latihan mengekal dan meningkatkan tahap profesionalisme selain kecekapan kakitangan tentera,” ujar pegawai operasi pasukan tersebut, Mejar Jose Mendez. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3XcBKlsTE 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment