AHLI keluarga melepaskan belon dalam majlis di Jindo bagi memperingati setahun nahas feri Sewol. |
Menurut kumpulan yang mewakili keluarga mangsa, kerajaan sekali lagi mengecewakan mereka apabila gagal memutuskan menaikkan rangka kapal sebelum ulang tahun setahun nahas itu, selain berharap sembilan lagi mangsa hilang dapat ditemui.
Ketua kumpulan itu Yoo Gyoung-geun juga memetik keputusan Presiden Park Geun-hye untuk tidak menghadiri ulang tahun peringatan itu sebagai punca majlis dibatalkan.
Sebaliknya Park melawat pelabuhan Jindo, tempat yang dijadikan bilik mayat sementara ketika tragedi itu berlaku 16 April tahun lalu.
“Kami begitu kecewa dengan kerajaan dan presiden kerana memusnahkan harapan keluarga mangsa untuk mengadakan upacara peringatan dengan sempurna. Mereka sepatutnya bertanggungjawab,” kata Yoo.
Feri terbabit karam ketika pelayaran rutin dari Incheon ke pulau Jeju. Tragedi yang mengorbankan 250 pelajar yang mengikut lawatan sekolah itu menimbulkan rasa tidak puas hati keluarga mangsa terhadap kerajaan.
Malah, Park sendiri dicemuh orang ramai ketika cuba melawat tempat peringatan yang didirikan di Ansan sempena memperingati 250 pelajar berkenaan.
Park berkata, kerajaan akan memulakan persiapan menaikkan feri seberat 6,800 tan itu - kali pertama setakat ini dia membuat janji seumpama itu bahawa pihaknya akan berusaha berbuat demikian. Kerajaan sebelum ini dituduh keluarga mangsa dan parti pembangkang sengaja melengah-lengahkan perkara itu.
“Saya menyarankan supaya kita memandang ke depan dan bukan membiarkan tragedi Sewol membayangi kita, seterusnya bergerak bersama-sama ke arah negara yang baru,” katanya.
Feri Sewol bertolak dari Incheon pada 15 April tahun lalu ke Jeju membawa 476 penumpang dan terbalik ketika membuat pusingan tajam di Jindo.
Hasil siasatan mendapati feri terbabit tidak kukuh dari segi struktur dan beban. Tragedi itu mendapat kritikan sebaik operasi menyelamat dijalankan kerana mengarahkan kanak-kanak berkumpul di dalam kabin menyebabkan mereka terperangkap.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:36 AM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44325#sthash.uYYXjcx5.dpuf
No comments:
Post a Comment