Saturday, April 18, 2015

‘Saya hanya hantar surat’

Polis memeriksa girokopter dibawa Hughes.
Washington: Polis Amerika Syarikat (AS) menahan seorang lelaki yang menerbangkan pesawat ringan girokopter menceroboh pekarangan bangunan Capitol - yang juga lokasi Kongres bersidang - selepas memasuki ruang udara terbatas.
Juruterbang dikenal pasti sebagai Doug Hughes, 61, pekerja perkhidmatan pos dari Florida yang mendedahkan maklumatnya selain mengakui perbuatannya di laman webnya.
Hughes berkata di laman webnya bahawa dia tidak berniat jahat, tetapi ingin menyampaikan surat kepada 535 ahli Kongress demi menarik perhatian mereka berhubung rasuah dalam kempen politik.
“Pesawat saya tiada ancaman fizikal, tetapi mungkin mampu menggugat aktiviti rasuah. Tidak perlu risau kerana saya sekadar menghantar surat,” katanya.
Seorang pembantu Senat yang enggan dinamakan berkata, polis di Capitol mengetahui rancangan itu sebelum Hughes berlepas, malah lelaki terbabit pernah ditemu ramah Perkhidmatan Rahsia AS.
Polis tidak mendedahkan identiti penceroboh terbabit, tetapi mengesahkan girokopter yang memaparkan logo Khidmat Pos AS terbang memasuki pekarangan Capitol dengan hanya seorang juruterbang.
Hughes sebelum ini dikatakan membincangkan perancangannya dengan akhbar Tampa Bay Times sebelum melaksanakan misi itu dan mengambil masa sejam untuk sampai ke Washington dari Gettysburg, Pennsylvania.
Pengerusi panel keselamatan dalam negeri bagi Dewan Perwakilan Michael McCaul berkata, Hughes bernasib baik kerana pasukan keselamatan bersedia menembaknya jika mendarat lebih dekat dengan bangunan Capitol.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:42 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44337#sthash.NyPexZNw.dpuf

No comments:

Post a Comment