SAINT-ANDR (PERANCIS): Johnny Begue tidak menjangkakan melalui di sepanjang pesisir pantai dan menemui serpihan bangkai pesawat telah menarik perhatian seluruh dunia terhadap pulau kecil yang merupakan kampung halamannya.
Begue mengetuai pasukan yang terdiri daripada lapan orang untuk membersihkan kawasan pantai di bandar Saint-Andre di Pulau Reunion.
Pada awal pagi Rabu, dia mencari batu kecil untuk dijadikan sebagai lesung untuk mengisar cili.
"Ketika itulah saya menjumpai sesuatu yang aneh di pantai," kata Begue, yang kemudiannya memanggil rakan-rakannya untuk memeriksa penemuan itu.
"Saya dengan segera mendapati ia merupakan serpihan sebuah pesawat," kata rakan Begue, Cedric Gobalsoumy.
Menurut pakar, serpihan bangkai pesawat sepanjang dua meter itu dipercayai merupakan bahagian sayap dengan keadaannya separuhnya diselaputi pasir manakala terdapat siput laut di bahagian hujungnya.
Gobalsoumy, kumpulan itu kemudiannya membawa objek itu ke darat bagi mengelakkan ia dibawa arus laut.
Mereka bagaimanapun tidak menyedari penemuan serpihan bangkai pesawat itu akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan berharap ia merupakan milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, sekali gus menyelesaikan misteri besar dalam industri penerbangan.
Pada awalnya, mereka memikirkan mahu meninggalkan sahaja serpihan bangkai pesawat itu untuk dilihat oleh orang ramai dan pelancong yang melalui kawasan pantai.
Gobalsoumy bagaimanapun berkata, dia menyedari mereka tidak boleh bertindak sebegitu.
"Satu serpihan dari sebuah pesawat di laut bukan sesuatu yang biasa. Kami berkata kepada diri kami bahawa mungkin terdapat orang yang maut di dalam pesawat ini dan mereka mempunyai keluarga yang perlu mengetahui apakah yang berlaku."
Mereka kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
"Seorang rakan kemudiannya melayari Internet menggunakan telefon bimbitnya dan membuat carian maklumat mengenai nahas pesawat dan menemui kisah yang melibatkan pesawat milik Malaysia," kata Begue.
Sekumpulan pembersih pantai itu bukan hanya yang mengaitkan penemuan itu dengan kehilangan pesawat milik Malaysia dan berita mengenainya dengan pantas tersebar ke seluruh dunia dan banyak pasukan penyiasat mahu membuat pemeriksaan terhadap serpihan tersebut.
"Saya tidak menyedari bahawa pergi mencari anak lesung untuk menumbuk cili menjadikan saya dikenali ramai," kata Begue.
Laporan media mengenai pulau itu yang sebelum ini sering kali dilaporkan tentang serangan ikan jerung dengan 18 insiden sejak 2011 di mana tujuh mengakibatkan kematian, telah mengalih perhatian dunia kepada penemuan serpihan bangkai pesawat.
"Kali ini semua tidak bercakap mengenai kami kerana serangan ikan jerung," kata pelajar, Anna Grondin, 23.
"Ia sesuatu yang luar biasa, malah CNN di Amerika bercakap mengenai kami dan menunjukkan pulau di peta," kata Jean-Marc Alagama, 43.
Pasukan pakar dari Malaysia dihantar ke pulau itu, namun pihak berkuasa menggesa supaya tidak terburu-buru membuat sebarang kesimpulan mengenai penemuan sayap itu. - AFP
No comments:
Post a Comment