PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita berusia 25 tahun atas dakwaan cuba berkahwin dengan seorang anggota militan untuk menyokong pergerakan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Rayuan pihak pendakwaan bagi mengenakan hukuman lebih berat ditolak pada Khamis oleh tiga panel hakim yang diketuai Datuk Mohtarudin Baki.
Ia adalah kes pertama membabitkan IS yang didengar di Mahkamah Rayuan.
Pada 1 November tahun lalu, Ummi Kalsom Bahak, 25, didakwa menawarkan sokongan termasuk bersetuju untuk berkahwin dengan seorang anggota kumpulan militan yang hanya dikenali dengan nama Aqif Huessin Rahaizat, 25, dengan mengambil penerbangan AirAsia ke Brunei dan berlepas ke Istanbul, Turki.
Pembantu kawalan kredit yang bekerja di Damansara itu ditahan di kaunter Imigresen KLIA2 kira-kira 5.20 petang pada 5 Oktober tahun lalu.
Pada April, dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi.
Wanita tersebut yang juga anak ketiga daripada enam beradik didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana menawarkan bantuan kepada aktiviti keganasan.
Ummi Kalsom menghadapi tuduhan lain iaitu berlepas dari KLIA2 ke Brunei untuk memberikan sokongan kepada IS dengan memasuki Syria dengan mengambil penerbangan dari Brunei ke Istanbul dan untuk berkahwin dengan Aqif Huessin.
Tertuduh diwakili Datuk Hanif Hassan.
No comments:
Post a Comment