Friday, July 31, 2015

Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai


31 JULAI 2015
Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai

Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai Jurucakap timbalan presiden, Zafar Hashimi, bercakap pada sidang media ketika pengumuman kematian Mullah di Kabul, kelmarin. - Foto AFP

KABUL - Jurucakap kumpulan militan Taliban semalam, menafikan pusingan kedua rundingan damai dengan Kerajaan Afghanistan, sekali gus menggagalkan usaha baharu untuk menamatkan konflik selama 14 tahun itu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan kematian pemimpin kumpulan tersebut, Mullah Omar, yang meninggal dunia dua tahun lalu di negara jiran Pakistan.

"Kami ada mendengar laporan media bahawa pusingan kedua rundingan antara Emiriah Islam dan pentadbiran Kabul akan bermula tidak lama lagi di Pakistan atau China.

"Emiriah Islam telah menyerahkan semua kuasa kepada pejabat politik yang berpangkalan di Qatar, dan mereka tidak mengetahui tentang proses ini," menurut Zabihullah Mujahid.

Pegawai Afghanistan dan Pakistan sebelum ini memberitahu, pusingan kedua rundingan akan diadakan di antara wakil Taliban dan Kerajaan Kabul dalam minggu ini, di mana topik gencatan senjata termasuk dalam agenda mesyuarat tersebut.

Sementara itu, kumpulan terbabit didakwa terus berdiam diri berhubung laporan kematian Mullah, dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Taliban di Quetta, Pakistan - Reuters

No comments:

Post a Comment