FATHIN ATHIRAH HASLI
28 OGOS 2015
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui banyak mengabaikan anak-anaknya dalam perjuangan reformasi yang dilakukan bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Wan Azizah, ia merupakan harga untuk sebahagian pengorbanan besar yang dibuat demi mendapatkan keadilan buat masyarakat dan rakyat negara ini.
"Perjuangan saya bermula ketika saya memikul tanggungjawab sebagai seorang pensyarah dan doktor di Universiti Malaya. Saya sedar bahawa ketika suami saya mula-mula ditahan pihak berkuasa, anak-anak saya masih kecil.
"Saya sibuk dengan perjuangan saya bersama Datuk Seri Anwar (suami) sehinggakan saya mengabaikan anak-anak yang masih kecil," katanya ketika berucap di Peluncuran Buku 'Sayang Buat Papa& My Dear Papa' di sini, semalam.
Ujar Wan Azizah lagi, meskipun sudah beberapa kali dilanda badai, beliau bersyukur anak-anaknya sentiasa memahami apa jua keadaan yang berlaku.
"Saya sentiasa berdoa kepada ALLAH, dan hari ini ALLAH makbulkan doa saya. ALLAH terjemahkan doa saya menerusi Nurul Hana (anak bongsu Wan Azizah dan Anwar).
"Hari ini, Nurul Hana terbitkan bukunya yang bertajuk 'Sayang Buat Papa& My Dear Papa' . Buku itu untuk papanya. Ia adalah hasil tulisan Hana yang melihat segalanya yang berlaku menerusi kaca matanya sendiri. Hari ini, saya bukan datang sebagai presiden (PKR), tapi saya datang sebagai seorang ibu," katanya sebelum disambut dengan tepukan gemuruh penonton yang hadir.
No comments:
Post a Comment