Friday, August 28, 2015

Pentadbiran Najib paling bermasalah


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
27 OGOS 2015Pentadbiran Najib paling bermasalah
Pentadbiran Najib paling bermasalah Mustafa Ali. Foto Sinar Harian Oleh MIZAN MAT TAMIN

SHAH ALAM - Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sepanjang beliau menceburi bidang politik, beliau melihat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak paling membawa masalah kepada negara.

Katanya, masalah itu bukan sahaja terkait dengan masalah politik, sebaliknya memalit semua masalah yang ada di dalam negara ini termasuk sosial dan ekonomi negara.

"Saya terlibat dalam politik lebih 40 tahun. Saya pernah melihat bagaimana negara berhadapan dengan kegawatan ekonomi pada 1997 dan 1998, tetapi tidak teruk seperti sekarang.

“Kalau dilihat ketika ini pentadbiran kerajaan bukan sahaja menghadapi masalah politik tetapi terkait sekali masalah ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu sesi wawancara khas bersama Sinar Harian, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelbagai polemik yang melanda pentadbiran Perdana Menteri ketika ini, antaranya isu  1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6 bilion, kejatuhan ringgit.

Mustafa yang juga bekas Setiausaha Agung Pas menambah, Perdana Menteri yang terdahulu juga tidak pernah berhadapan dengan kritikan dan masalah sebagaimana yang dihadapi Najib ketika ini.

"Sejak (Allahyarham) Tun Abdul Razak hinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad, saya rasa inilah masalah paling besar yang dihadapi negara (masalah pentadbiran)," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, ia bertambah buruk apabila persepsi negatif mengenai negara mulai terbentuk hinggakan menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Lagi teruk apa yang kita hadapi ini bukan sahaja soal persepsi dalam negara tetapi  melibatkan persepsi luar terhadap kita dan isu kejatuhan mata wang ringgit yang berterusan.

"Belum pernah sebelum ini mata wang kita serendah sekarang iaitu hampir bersamaan AS$4 berbanding RM1. Adakah sampai nilai ringgit akan turun sehingga AS$5? Minta tidak sampai ke situ.

“Selain itu belum pernah kita lihat di mana Perdana Menteri campur tangan secara terang terangan dalam institusi negara yang penting seperti Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, pihak bank dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," katanya lagi.

Oleh itu ujarnya, semua pihak harus melakukan 'sesuatu' bagi memastikan Malaysia kekal sejahtera seperti keadaan sebelum-sebelumnya.

"Banyak orang cakap bawah sampai atas mengenai perkara ini....ada orang cakap undi tidak percaya di dalam Parlimen (untuk mendesak Najib lepas jawatan)," katanya.

No comments:

Post a Comment