Tuesday, January 19, 2016

Cameron tegur wanita Islam




LONDON – Perdana Menteri Britain, David Cameron (gambar) mahu lebih banyak usaha dilakukan untuk membantu wanita Islam di negara itu mempelajari Bahasa Inggeris bagi menangani diskriminasi dan pengasingan jantina dalam komuniti mereka.
Dalam komentar yang disiarkan akhbar The Times kelmarin, Cameron berkata, masanya sudah tiba untuk menangani sikap mundur sebilangan kecil lelaki Islam yang melaksanakan kawalan negatif sehingga merosakkan wanita yang berada dalam kehidupan mereka.
Sikap toleransi secara pasif, kata Cameron, menyebabkan kelompok tersebut percaya bahawa kemajuan untuk lelaki dan wanita adalah berbeza.
Pemimpin Parti Konservatif itu melancarkan dana pembelajaran bahasa berjumlah AS$28.5 juta (RM125 juta) untuk wanita yang tinggal dalam komuniti terpencil sebagai sebahagian daripada usaha memupuk integrasi masyarakat.
Menurutnya, golongan imigran perlu meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris atau berdepan risiko sukar untuk tinggal di Britain.
Cameron berkata, perangkaan baharu mendapati kira-kira 190,000 wanita Islam atau 22 peratus daripada mereka bertutur sedikit atau langsung tidak memahami Bahasa Inggeris walaupun telah menetap di Britain selama beberapa dekad.
“Kira-kira 40,000 wanita ini langsung tidak faham Bahasa Inggeris.
“Justeru, tidak hairanlah jika 60 peratus wanita ini yang berketurunan Pakistan atau Bangladesh tidak aktif dari segi ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan bertindak terhadap minoriti lelaki yang mengekalkan sikap mundur dan mengenakan kawalan sedemikian terhadap isteri, adik-beradik dan anak perempuan mereka.
Menurutnya lagi, terpulang kepada golongan imigran itu untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris jika mahu terus tinggal di Britain atau memohon kewarganegaraan.
“Kami menyatakan, sekiranya kamu tidak meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris, peluang kamu tinggal di Britain terjejas.
“Ketegasan ini dapat membantu menjelaskan kepada lelaki-lelaki berkenaan bahawa tindakan menghalang pasangan daripada bergaul dengan masyarakat akan membawa padah kepada mereka,” kata Cameron. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3xgtyZatG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment