KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu pihak bank tidak pernah memberi sebarang maklumat akaun bank Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli.
Pengurus Perniagaan Public Bank Berhad Cawangan Jalan Hang Lekiu, Chai Ma Fatt berkata beliau juga tidak mengetahui mengenai dakwaan kononnya Mohd Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR mendapatkan maklumat akaun berkenaan daripada bank itu.  
Ma Fatt,49, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk M. David Morais mewakili Mohamad Salleh selaku plaintif dalam perbicaraan kes samannya terhadap Mohd Rafizi dan portal berita Malaysiakini berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.  
Selain itu, saksi plaintif itu berkata pihak bank pernah menawarkan pinjaman kepada Mohamad Salleh bagaimanapun menarik balik tawaran itu kerana selepas tujuh bulan tempoh tawaran, beliau masih tidak memberi sebarang maklum balas.  
"Pihak bank memberi sokongan terhadap pinjaman itu kerana percaya kepada kedudukan kewangan dan kredibiliti Mohamad Salleh," katanya.
Ma Fatt juga bersetuju dengan cadangan peguam Razlan Hadri Zulkifli, mewakili Mohd Rafizi, bahawa simpanan tetap sebanyak RM71.3 juta yang dibuat Mohamad Salleh ke dalam akaun bank tersebut antara faktor yang menyebabkan pihak bank memberi pinjaman kepadanya.  
Dalam saman difailkan pada 3 Jun, 2013, Mohamad Salleh, 67, dan NFCorp, mendakwa pada 7 Mac 2012, Mohd Rafizi selaku pengarah strategi PKR ketika itu, membuat kenyataan berbaur fitnah pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah itu dan disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama. - Bernama