WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
“Tuan aku nak bunuh mu!”
KEMAMAN – “Tuan aku marah! Dia nak cari mu, nak tembak mu, nak bunuh mu,” teriak seorang wanita dengan muka marah menyinga memandang pengamal perubatan Islam, Ustaz Nor Azman Albanjary atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Jin.
Ugutan itu bagaimanapun langsung tidak mengubah riak wajah lelaki berusia 45 tahun itu, sebaliknya meneruskan rawatannya hingga wanita yang pada awalnya dirasuk itu kembali sedar.
Sesi rawatan percuma secara terbuka yang dijalankan di Mak Chili, di sini, itu disaksikan sendiri kira-kira 400 pesakit yang bukan sahaja datang dari serata daerah ini, malah ada juga dari Kuala Terengganu, Kelantan, Selangor, Brunei dan United Kingdom.
Demi memulihkan kembali diri yang mengalami gangguan jin, sihir, ilmu hitam, saka, santau dan seumpamanya, pesakit dari luar sanggup datang ke daerah ini kerana memahami rawatan yang dilakukan perawat mereka itu tidak tertumpu pada satu-satu tempat sahaja.
Mereka yang mengalami gangguan itu perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya tujuh kali untuk pulih sepenuhnya yang mana kaedah rawatannya hanya menggunakan bacaan ayat suci al-Quran.
Nor Azman berkata, sesi rawatan di Kemaman sudah bermula sejak 21 Julai sebelum berakhir pada 12 Ogos lalu namun disebabkan permintaan ramai maka rawatannya disambung semula sejak 15 Ogos lalu dan waktu rawatan bermula pada jam 9 malam dan berlanjutan sehingga ke Subuh.
Katanya, kira-kira 10 peratus pesakit yang mendapatkan rawatannya di daerah ini adalah disebabkan mengalami gangguan jin dan terkena sihir.
“Bahayanya penangan sihir ini hingga membuatkan ada kanak-kanak tidak mampu berjalan. Walaupun dunia kini sudah moden, namun masih banyak lagi kes-kes angkara sihir dan gangguan makhluk halus ini berlaku dalam masyarakat kita.
“Sebab itu juga kita buat rawatan di tempat terbuka untuk beri kesedaran kepada orang ramai bahawa masalah ini masih terjadi seterusnya untuk mendidik masyarakat agar mempunyai ilmu untuk menghindar diri daripada gangguan jin, sihir, ilmu hitam dan seumpamanya,” katanya.
Nor Azman yang berasal dari Melaka memberitahu, meskipun rawatan percuma secara menjelajah ke setiap negeri menuntutnya untuk menghabiskan masa lama di sesebuah tempat namun keadaan itu tidak menjadi bebanan untuknya dan enam sukarelawan yang membantunya mengadakan rawatan demi niat berjihad di jalan ALLAH.
No comments:
Post a Comment