Friday, September 17, 2010

DNA bantu kenal pasti mangsa


KUALA LUMPUR 16 Sept. – Dalam sebarang proses siasatan jenayah terutamanya yang membabitkan kes rogol dan pembunuhan, bahan bukti utama yang dijejaki oleh pakar forensik ialah asid deoksiribonukleik (DNA) menggunakan kaedah siasatan forensik.
Siasatan forensik yang menggunakan ujian ke atas DNA mangsa merupakan kaedah untuk mengesan identiti suspek penjenayah dengan tepat melalui ujian terhadap darah, air mani, kulit, air liur atau rambut mangsa yang dipadankan dengan ahli keluarga mereka.
Keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah.
Pensyarah Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia, Dr. Zafarina Zainuddin dilaporkan berkata, DNA yang ditinggalkan di tempat kejadian boleh terjejas jika terdedah kepada persekitaran yang ekstrem seperti lembap atau panas melampau.
Zafarina yang juga pakar perunding DNA bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu, ketepatan ujian DNA juga hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus kerana profilnya bagi setiap individu adalah unik dan berbeza melainkan suspek tersebut mempunyai kembar seiras.
Dalam usaha memperluaskan ilmu sains forensik, PDRM telah menubuhkan sebuah makmal forensik bernilai RM45 juta di Maktab PDRM Cheras pada April 2002 yang dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi.
Bidang forensik di negara ini dipertanggungjawabkan di bawah bidang tugas Jabatan Kimia yang menerima sampel-sampel daripada agensi penguatkuasaan.
Pada 30 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama peguam, pegawai bank dan pemandunya. Sosilawati, 47, dikatakan mati dibunuh tetapi mayatnya di bakar dan abunya dibuang ke sungai.
Bagaimanapun, polis menemui serpihan tulang-tulang dipercayai milik mangsa dan ujian DNA kini sedang dijalankan bagi mengesahkan ia milik mangsa pembunuhan kejam tersebut.

No comments:

Post a Comment