KUALA LUMPUR 13 Jan. – Ummi Hafilda Ali mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengannya terlebih dahulu berhubung kebenaran kes salah laku seks beliau sebelum mencabar pihak lain.
Katanya, Anwar tidak perlu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Pelan 100 Hari yang dicadangkan pakatan pembangkang kerana ia tidak memberi sebarang faedah.
“Saya cabar Anwar berdebat dengan saya. Saya juga cabar Azmin Ali untuk berdebat dengan saya sebelum berdebat dengan Perdana Menteri, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah penasihat undang-undang Ummi Hafilda, Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz.
Ummi Hafilda yang pernah menjadi saksi penting kes liwat Anwar pada 1998 turut mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Azmin melakukan sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak terbabit dalam segala kes salah laku seks yang didedahkannya ketika itu
“Saya juga mencabar Anwar masuk ke mana-mana masjid bagi membuat sumpah laknat untuk menafikan segala dakwaan yang dikemukakan saya sebelum ini jika betul dia tidak terbabit dengan perbuatan itu,” katanya.
Ummi Hafilda juga dalam pada itu bersumpah dia tidak pernah menerima sebarang bayaran atau upah daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau kerajaan ekoran pendedahan tentang salah laku Anwar ketika itu.
“Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak pernah menerima walau satu sen pun upah ketika itu. Jika saya berbohong maka saya akan dilaknat.
“Semua ini saya lakukan atas dasar perjuangan terhadap anak bangsa saya sendiri. Kerajaan tidak pernah membayar satu sen pun atau apa-apa pampasan kepada saya. Niat saya jelas mahu menyelamatkan agama dan bangsa saya daripada orang yang bernama Anwar Ibrahim,” katanya.
Ummi Hafilda berkata, dia akan mengemukakan semua bukti penting berhubung perilaku Anwar dan yang lain di mahkamah melalui saman yang akan difailkan nanti.
Sebelum ini, Ummi Hafilda menyatakan akan memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar, Azmin, Wan Azizah, peguam Karpal Singh dan parti Pas kerana salah laku mereka terhadapnya pada 1997.
Daripada jumlah itu, saman terhadap Anwar berjumlah RM300 juta dibuat atas dakwaan salah guna kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1997 yang mengarahkan dia ditangkap dan didera bagi mendapatkan pengakuan palsu berhubung skandal seks.
Selain itu, Ummi Hafilda bakal memfailkan saman berjumlah RM200 juta terhadap Karpal, RM100 juta terhadap Wan Azizah dan RM100 juta lagi terhadap Pas.
Dalam pada itu, dia juga bercadang menjelajah ke seluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat berhubung salah laku Anwar dan konco-konconya.
“Tidak ada sebab untuk saya takut. Malah saya tahu Anwar memang takut kepada saya sebab itu dia tidak menyaman apabila saya menulis dalam blog mengenai segala yang dia buat,” katanya.
No comments:
Post a Comment