KUALA LUMPUR 2 Apr - Ahli Dewan Undangan Negeri Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham mahu pihak polis memberi penjelasan berhubung kehadiran ramai individu yang tidak dikenali dan dikhuatiri terdiri daripada gengster semasa sidang Dewan Undangan Negeri Perak 30 Mac lalu.
Malah Ngeh juga mendakwa pihak polis telah mengeluarkan kata-kata ugutan kepada beliau serta mengertaknya ketika sidang DUN Selasa lalu.
"Saya mahu polis memberi penjelasan mengapa mereka berada di persekitaran Dewan dan di dalam Dewan. Dalam Dewan terdapat ramai orang asing, yang bukan berpakaian seragam, adakah mereka polis atau gengster? Polis mesti bertanggungjawab (terhadap keselamatan) sebab polis periksa semua ADUN yang hendak masuk Dewan, menggunakan mesin pengimbas. Kenapa mereka (polis) masukkan elemen luar ini? Siapa gengster ini yang mereka masukkan untuk mengertak kita, polis mesti jawab," tegas Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas.
Kelmarin Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata kehadiran polis semasa persidangan itu berlangsung adalah di atas permintaan 'Speaker' Datuk R. Ganesan bagi menentukan keselamatan dan ketenteraman awam memandangkan kekecohan pernah berlaku pada persidangan DUN sebelum ini.
"Pihak polis tidak berada di dalam dewan sebaliknya hanya berkawal di luar dewan dan perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri," kata beliau.
Zulkifli juga berkata polis telah memulakan siasatan terhadap Ngeh berhubung dakwaannya terdapat pegawai dan anggota polis ditempatkan di dalam DUN semasa sidang pada Selasa dan Rabu lepas.
Pengerusi DAP Perak itu disiasat di bawah Seksyen (1) (a) Akta Hasutan 1948 kerana dipetik sebagai berkata: "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita".
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan kenyataan Ngeh itu sebagai tidak bertanggungjawab dan jahat.
Ngeh bagaimanapun berkata beliau hanya meluahkan kerisauan mengenai keselamatan ADUN dengan kehadiran ramai anggota polis.
"Saya hanya meluahkan rasa kegelisahan saya. Masa perdebatan kita ahli-ahli Yang Berhormat tidak guna kekerasan hinggakan polis beritahu saya semasa saya di luar Dewan, dia (polis) kata kita tak ikut undang-undang kita ikut arahan, inilah kata-kata yang digunakan. Jadi saya kata kalau mereka tak suka hujah-hujah kita dan mereka ikut arahan (dan bukan undang-undang), kita mungkin dibunuh.
"Kenapa polis harus mengerumuni dalam Dewan. BN menggunakan pihak polis untuk mengertak kami samada pada 30 Mac atau semasa sidang di bawah pokok sebelumnya apabila polis menggunakan kekerasan tidak membenarkan kami masuk ke dalam Dewan. Kenapa polis menentang arahan Speaker V. Sivakumar dan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 124 yang membawa hukuman 7 tahun penjara.
Ngeh berkata beliau akan mempertahan kebebasan DUN Perak daripada dicengkam oleh mana-mana pihak.
"Saya akan mempertahankan kebebasan Dewan Undangan Negeri hingga akhir hayat saya. Kenapa harus saya pergi ke Dewan di mana polis yang menguasai semua, di lorong, di verandah. Saya takut kerana kalau itu kekerasan yang dibuat oleh pihak polis ke atas Speaker V. Sivakumar dia boleh dicekik sampai mati.
"Saya sebagai seorang demokrat tidak mahu melihat Perak sebagai sebuah negeri polis. Kalau kita cintakan negeri Perak kita mesti pertahankan kebebasan DUN, kalau ada mana-mana pihak hendak polis menguasai DUN atau Parlimen ini menunjukkan mereka derhaka kepada prinsip demokrasi negara kita," tegas Ngeh lagi.
No comments:
Post a Comment