Thursday, December 16, 2010

Kecoh gara-gara wakil pembangkang berdebat dengan Speaker


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh gara-gara tindakan wakil pembangkang berdebat dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung usul yang dikemukakan oleh mereka mahupun kerajaan.
Keadaan itu memaksa Pandikar Amin menggunakan kuasanya di bawah Peraturan Mesyuarat 44 bagi menggantung sehari R. Sivarasa (PKR-Subang) manakala Azmin Ali (PKR-Gombak), separuh hari hingga pukul 2.30 petang daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Kekecohan bermula apabila Pandikar Amin menolak usul berkaitan pendedahan WikiLeaksyang dikemukakan Sivarasa atas alasan ia tidak perlu disegerakan memandangkan masih banyak perkara yang perlu didahulukan seperti termaktub dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Sivarasa yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, bangun mempersoalkan tindakan Pandikar Amin membenarkan pula usul yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, mencadangkan agar beliau, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan Azmin, digantung selama enam bulan.
Pandikar Amin kemudiannya menjelaskan bahawa usul berkenaan dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang jelas memperuntukkan bahawa menteri mempunyai kuasa untuk mengemukakan usul dalam masa 24 jam tanpa perlu tujuh hari notis seperti dipersoalkan.
"Saya mengikut Peraturan Mesyuarat dan peraturan ini bukan saya yang buat, Yang Berhormat semua yang buat. Dalam kes ini Bukit Gelugur (Karpal), Subang (Sivarasa) dan Gombak (Azmin) yang membuat kenyataan di luar dewan berkenaan prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
"Usul yang dikemukakan menteri itu berpendapat ia satu perbuatan menghina dewan, terpulanglah kepada Yang Berhormat semua untuk membahas dan memutuskan nasib ketiga-tiga mereka. Saya tidak boleh mengundi, Yang Berhormat yang mempertikai sebenarnya yang mempunyai kepentingan politik," katanya.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Pandikar Amin.
Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) bangkit dan menuduh Pandikar Amin melebihkan Barisan Nasional (BN).
Keadaan semakin tidak terkawal apabila beberapa wakil pembangkang lain termasuk Azmin; Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur); Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang); Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian); Nasharuddin Mat Isa (Pas-Bachok); Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena); Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas-Kuala Krai) serta beberapa penyokong kerajaan turut mencelah.
"Tan Sri (Pandikar Amin), apa yang kami bangkitkan adalah persoalan mengenai hak demokrasi, mana hak ketiga-tiga wakil rakyat ini untuk membela diri jika usul ini diterima tanpa notis tujuh hari. Jangan kita hanya mementingkan pihak yang mempunyai majoriti lebih bagi menekan kami di sebelah sini (pembangkang).
"Saya digantung tak apa, saya terima walaupun sebelum ini pernah berjanji untuk memberi peluang kepada saya membela diri tetapi akhirnya tidak berbuat demikian, tetapi ini soal tiga wakil rakyat ini (pembangkang) macam mana? Macam mana dengan hak mereka?," soal Anwar dalam nada tinggi.
Bagaimanapun, Anwar terdiam apabila Pandikar Amin secara sinis bertanya apakah itu standard ketua pembangkang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri selain pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sewaktu dalam kerajaan.
"Keputusan saya ini muktamad dan tidak ada ruang dalam Peraturan Mesyuarat untuk mempersoalkannya. Permatang Pauh bercakap mengikut persepsi politik tetapi tugas saya mengikut Peraturan Mesyuarat. Yang Berhormat selaku ketua pembangkang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri patut tunjuk sikap yang lebih baik," katanya.
"Inikah standard yang Permatang Pauh mahu tunjukkan, sepatutnya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, Yang Berhormat lebih memahami peraturan dan bukan sekadar mengikut persepsi politik, dewan ini ada peraturan tetapi jika Yang Berhormat semua enggan patuh, sebaliknya, ingin meneruskan 'permainan', saya tiada masalah," tegasnya.

No comments:

Post a Comment