KUALA LUMPUR, 8 Sept — Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman menegaskan Ahmad Indera atau lebih dikenali sebagai “Mat Indera” telah merancang serangan ke atas Bukit Kepong pada 1950 selain mendakwa beliau berusaha keras mempengaruhi orang Melayu menyertai “kegiatan haramnya” dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
Semalam, keluarga Mat Indera mempertahankan beliau bukan merupakan komunis dan mahu kerajaan membersihkan namanya.
Dalam berita muka depan Berita Harian hari ini, yang bersandarkan pada rencana khas Ghani sendiri, Menteri Besar juga mendakwa berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.
“Dia bukan seorang ‘pejuang’ untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun,” kata Ghani lagi.
Ghani menulis, apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan darurat pada 19 Jun 1948 semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan PKM diharamkan dan ramai ahlinya mengambil tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Umno.
“Perjuangan melalui parti dan gerakan Umno yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan membabitkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pascamerdeka di negara ini.
“Bagaimanapun, Mat Indera memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata Ghani dalam rencananya.
Tulisan ini diterbitkan sehari selepas Ghani berkata, Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Semalam, Ghani menegaskan, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah ahli PKM dengan pangkat sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
Dalam tulisan hari ini, Ghani menambah, tindakan Mat Indera terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
“Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan.
“Kemuncak pembabitan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu ialah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950. Fakta yang diperoleh daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas itu terhadap pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong,” katanya lagi.
Ghani menulis, sebagai seorang daripada pemimpin Rejimen Ke-10 PKM, Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.
“Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.
“Sedangkan, ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara,” katanya.
Malah kata beliau, Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk daripada Malayan Union British sebelum itu.
Tambah beliau, komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan People’s Democratic Republic of Malaya yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.
“Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.
“Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan,” katanya.
Mat Indera ditangkap dua tahun selepas tragedi Bukit Kepong.
Sehubungan itu kata beliau, akhirnya Mat Indera berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan pengganas yang diharamkan sehingga ke hari ini.
“Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.
“Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan Umno yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi,
-INSIDER
No comments:
Post a Comment