Sunday, January 23, 2011

Menara 135m mercu tanda baru Langkawi




GAMBAR model menara setinggi 135 meter yang dianggarkan menelan belanja lebih RM10 juta akan dibina di Kuah, Langkawi.


LANGKAWI - Sebuah menara setinggi 135 meter dengan dua ciri istimewa, iaitu menara peninjau dan sebuah restoran, yang dianggar menelan kos lebih RM10 juta akan dibina sebagai mercu tanda baru pulau peranginan ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin pembinaan menara yang dirancang sejak lebih 20 tahun itu bakal menjadi tarikan baru pelancongan.
"Saya diberi penghormatan menamakan menara itu, tapi belum dapat nama yang sesuai sehingga kini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan menara itu di Pantai Kuah semalam.
Beliau berkata, menara itu akan membolehkan lebih 50 pengunjung berada di tingkat atas pada satu-satu masa, dan pelancong dapat melihat pemandangan indah di sekelilingnya, termasuk ketika matahari terbenam.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Blackrock, Datuk Abu Hassan Mohamed sebagai pemaju projek itu berkata, tanah seluas 11.33 hektar di pesisir pantai berhampiran Kuah akan ditebus guna pada bulan depan.
Beliau berkata projek pembinaan menara itu akan bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan. - Bernama

No comments:

Post a Comment