Sunday, December 26, 2010

NASIHAT KEPADA PENGGUNA INTERNET


Susulan daripada hasil  siasatan kes Facebook “Sultan yang Setan” yang mendapati suspek telah menggunakan akaun Internet orang lain dengan cara memecahkan kod keselamatan pada Wireless Router jiran-jirannya untuk melayari Internet dan seterusnya mencipta akaun Facebook "Sultan yang Setan" serta menulis komen-komen di dalamnya. Justeru,  Dato’ Wira Syed Ismail bin Syed Azizan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, telah memberi nasihat-nasihat seperti berikut kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa “berinternet”.

Nasihat kepada pengguna Internet:

1.       Para pengguna internet yang menggunakan Wireless Router hendaklah berhati-hati dan mendapatkan nasihat daripada Internet Service Provider (ISP) masing-masing berkenaan bagaimana untuk meningkatkan tahap keselamatan rangkaian Internet mereka agar keselamatan talian Internet mereka terjamin dan tidak diceroboh oleh orang lain.

2.       Sila matikan (switch off) Wireless Router apabila tidak menggunakan Internet bagi mengelakkan capaian Internet oleh individu yang tidak diundang.

3.       Bagi pengguna media sosial seperti Facebook, MySpace, Friendster dan seumpamanya, perlu berhati-hati dalam mendedahkan maklumat diri mereka seperti gambar, no. telefon dan sebagainya  bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mencuri dan menggunakan identiti mereka di Internet.

4.       Jangan menulis apa-apa komen yang mempunyai unsur-unsur fitnah dan hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Ini akan membawa risiko kepada anda ditahan di bawah Akta Hasutan 1948.

5.       Pengguna Internet hendaklah lebih beretika dan bertanggungjawab terhadap setiap komen atau posting  yang dibuat oleh mereka.

Dato’ Wira Syed Ismail bin Syed Azizan juga menegaskan bahawa pihak polis dengan berbekalkan peralatan dan perisian yang berteknologi tinggi, berkeupayaan untuk mengesan dan menangkap pesalah-pesalah jenayah siber dan kesemua mereka ini akan dibawa ke muka pengadilan.
Dato' Wira Syed Ismail bin Syed Azizan, Pengarah Jenayah Siasatan Jenayah Komersil sedang memerhatikan barang-barang kes yang diperoleh sebagai bahan bukit mahkamah bagi kes facebook "Sultan yang Setan".

No comments:

Post a Comment