Saturday, October 2, 2010

Sekolah Harapan tambah lima pelajar



JASIN - Sekolah Harapan menerima lima lagi pelajar menjadikan pelajar hamil yang menuntut di sekolah berkenaan kini seramai 10 orang. 

Penyelianya, Saimah Hiram berkata, lima lagi pelajar yang berasal dari luar negeri Melaka itu mendaftar 27 September lalu dan berusia antara 16 hingga 20 tahun. 

“Walaupun terdapat lebih permohonan, namun buat masa ini kami terpaksa menolak kerana ruangan rumah atau asrama terhad. 

“Oleh kerana asrama tempat menginap ini adalah bekas rumah kadi kawasan, maka ruangnya terhad. Namun, sebuah bangunan asrama baru akan dibangunkan berhampiran kawasan sekolah yang bakal menampung 40 pelajar dalam satu-satu masa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. 

Setakat ini, katanya, sesi pembelajaran sekolah berkenaan berjalan lancar dengan dibantu lima kakitangan termasuk guru mengajar pelajar mata pelajaran yang diambil daripada sekolah asal. 

Selain itu, katanya, pelajar juga diberi kelas tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini. 

“Peperiksaan SPM akan diadakan di sekolah ini dan lembaga peperiksaan negeri akan memantau proses peperiksaan mereka. 

“Namun, bagi yang mungkin melahirkan atau berada dalam pantang, mungkin peperiksaan ditangguh tahun depan,” katanya. 

Saimah berkata, sehingga kini terdapat seorang pelajar sedang menunggu masa bersalin dan kesihatan mereka semua dipantau kakitangan klinik berhampiran yang akan datang memeriksa mengikut keperluan. 

Sekolah Harapan beroperasi 16 September lalu dengan lima pelajar dan dibiayai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kos RM500,000 setahun.

No comments:

Post a Comment