Tuesday, November 20, 2012

Bawa ‘beban’ 60kg

SEMAKIN BESAR...Hassan menunjukkan ketumbuhan di bahagian belakang bahu  Rohaya.
SEMAKIN BESAR...Hassan menunjukkan ketumbuhan di bahagian belakang bahu Rohaya.

TANJUNG KARANG: “Nak berjalan pun susah. Kadang-kadang nak ke rumah jiran yang tak sampai 100 meter pun ambil masa setengah jam,” kata Rohaya Mohamed Ariffin, 41, yang mempunyai benjolan menyamai ketumbuhan kronik atau dikenali sebagai lipoma di bahagian perut, belakang bahu kanan dan bawah paha kanan sejak 37 tahun lalu.
Rohaya berkata, akibat ketumbuhan itu, berat badannya kini meningkat hampir 130 kilogram (kg) dan berat lipoma itu saja dianggarkan hampir 60 kg. Ibu kepada dua anak yang tinggal di Kampung Parit Empat, Ban Tiga, Sekincan, di sini, berkata, masalah lipoma itu bermula sejak dia berusia empat tahun. Ia semakin membesar terutama selepas dia berkahwin lapan tahun lalu.

Masalah itu juga membuatkan tidur Rohaya tidak pernah lena. Setiap malam dia hanya mampu tidur tidak lebih daripada tiga jam sebelum terjaga kerana bahagian lipoma itu menjadi kebas.

“Saya tak boleh tidur dalam keadaan telentang dan mengiring, jadi saya terpaksa baring dalam keadaan senget. Bahagian lipoma itu kemudian akan menjadi kebas mengakibatkan saya terjaga dari tidur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rohaya juga sukar bergerak kerana cepat berasa penat disebabkan terpaksa membawa ‘beban’ yang berat itu. Dia juga tidak boleh duduk atau tidur di atas lantai kerana ia akan menyukarkannya untuk bangun. “Saya pernah menjalani pembedahan membuang beberapa bahagian yang membengkak itu ketika berusia 11 tahun, tetapi ia semakin membesar,” katanya.

Katanya, dia pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh beberapa tahun lalu dan doktor memaklumkan ketumbuhan itu boleh dibuang dengan kos mencecah RM50,000.


Rohaya berkata, pendapatan suaminya, Hassan Zakaria, 47, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah di sini, tidak mampu menampung kos kehidupan mereka sekeluarga termasuk dua anak perempuan iaitu Nurul Hasanah Sathiah, 7, dan Nurul Hasanah Faziha, 4, apatah lagi untuk kos pembedahan berkenaan.

Katanya, beberapa bulan lalu dia menghidap demam panas hingga mengakibatkan ketumbuhan di badannya melecet dan berair.

“Mujur saya tidak mengalami penyakit kencing manis atau darah tinggi. Saya reda dan pasrah kerana segalanya ketentuan Ilahi,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Rohaya boleh menghubungi nombor telefon 019-6405286.

No comments:

Post a Comment