Tuesday, November 30, 2010

Kes Aminulrasyid: Saksi kejar mangsa tuntut ganti rugi



Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/11/30

Kereta Aminulrasyid langgar kenderaan lain sebelum dipecut laju 

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu, kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, 15, pada hari dia mati ditembak, bukan saja dikejar kereta peronda polis, malah oleh beberapa penunggang motosikal.
Saksi ke-32 pendakwaan, R Lokman Hakim R Daly, 23, berkata beliau dan dua rakannya mengejar kereta itu selepas ia melanggar kereta milik seorang rakannya bernama Syafiq.
“Saya dan dua lagi rakan bernama Abdul Hadi dan Sufian, mengejar kereta Iswara itu untuk meminta ganti rugi,” katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara jam 1.10 pagi hingga 2 pagi, pada 26 April lalu. 

Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda. 
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. 

Lokman Hakim berkata, pada jam 11.30 malam 25 April lalu, dia dan rakannya ke restoran Ali’s Corner di Seksyen 7, menaiki kereta Toyota Celica berwarna biru gelap. 
Katanya, pada jam 12.15 pagi, dia terdengar bunyi dentuman pelanggaran kereta Proton Iswara Aeroback putih bernombor BET 5023 dengan kereta Toyota Celica berkenaan. 

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Adilla Ahmad, beliau berkata, bumper depan kereta Toyota Celica itu terjatuh sedikit menyebabkan dia dan rakannya mengejar kereta dipandu Aminulrasyid. 

“Saya dan dua lagi rakan mengejar kereta Iswara itu bermula dari Seksyen 8 terus ke Seksyen 9 hingga ke Bulatan Kayangan dan ke Persiaran Dato Menteri di mana saya terjatuh di tepi jalan,” katanya sambil menambah kereta Iswara itu dipandu laju dan melanggar enam lampu isyarat. 

Ditanya bagaimana boleh terjatuh, Lokman Hakim berkata selepas memasuki Persiaran Dato' Menteri, kereta Iswara itu dipandu perlahan berikutan jalan berbukit dan ketika cuba memotong kereta itu, beliau dihimpit ke kanan jalan menyebabkannya terpaksa menjatuhkan badan bagi mengelak daripada terlanggar pembahagi jalan. 

“Saya tidak dapat kenal wajah pemandu tetapi berdasarkan tangan dan tubuhnya yang kecil, saya lihat pemandu kereta itu seorang budak lelaki lingkungan 17 tahun dan penumpang di sebelahnya juga seorang budak lelaki kurus, kecil dan sebaya dengan pemandu itu,” katanya. 

Terdahulu pada sebelah pagi, saksi pendakwaan ke-30, penjaga stor persenjataan di Balai Polis Seksyen 6, Lans Koperal Madi Samsuddin, memberitahu mahkamah, Konstabel Percubaan Izham Mahayaddin ketika memulangkan senjata HK MP5 yang diperoleh pada 26 April lalu, hanya menyerahkan 90 butir peluru bersama empat kelopak peluru. 

“Izham memaklumkan, dia melepaskan beberapa tembakan. Saya mengira pelurunya dan mendapati ia kurang 10 butir,” katanya. 

Perbicaraan bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment