Tuesday, October 12, 2010

Undang-undang larang remaja perempuan bekerja di hotel, rumah penginapan


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Larangan terhadap remaja perempuan daripada bekerja di hotel, bar, restoran, rumah penginapan dan kelab akan dikuatkuasakan apabila Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 diwartakan kelak.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, penguatkuasaan dikecualikan terhadap remaja berkenaan yang bekerja di premis yang dimiliki oleh keluarga sendiri.
Menurut beliau, sekiranya kanak-kanak dan anak muda itu mahu bekerja selain daripada dalam lingkungan pekerjaan yang ditetapkan, mereka perlulah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.
"Ia bertujuan mengelak mereka daripada dieksploitasi sehingga mengganggu keperluan pendidikan, kesihatan dan keselamatan," katanya semasa membentangkan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Subramaniam berkata, melalui pindaan akta itu, hukuman penjara dicadang untuk dinaikkan daripada enam bulan kepada setahun dan denda pula daripada RM2,000 kepada RM5,000 bagi kesalahan pertama.
Katanya, bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, hukuman penjara dinaikkan daripada dua tahun kepada tiga tahun dan denda dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000.
"Mengikut akta asal, kanak-kanak iaitu yang berusia di bawah 14 tahun dan orang muda di bawah 16 tahun hanya dibenarkan untuk bekerja dalam sektor tertentu sahaja.
Sementara itu, semasa sesi penggulungan, Subramaniam berkata, kerajaan sedia menimbangkan cadangan mengiklankan secara meluas di media mengenai hukuman yang boleh dikenakan kepada majikan yang mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Katanya, iklan yang akan turut menyediakan platform kepada orang ramai melaporkan mengenai penyelewengan itu diharap dapat mengelaknya daripada terus berlaku secara berleluasa, sekali gus memudahkan kerja-kerja penguatkuasaan.
Beliau mengakui antara kekangan utama dihadapi oleh agensi penguatkuasaan kementerian ialah tidak mendapat aduan daripada orang ramai.
"Kita akui ia memang berlaku, masalahnya kementerian tidak menerima aduan, pemantauan secara konsisten dilakukan tetapi sukar untuk mengesan atau mengambil tindakan kerana tiada maklumat.
"Jika ada aduan jaminan kita ia akan disiasat dan diambil tindakan. Jadi saya harap Ahli-Ahli Parlimen bantulah kita menyalurkan maklumat dan membuat aduan," katanya.
Sebelum itu, Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) mencadangkan supaya kerajaan membuat publisiti besar-besaran terhadap rang undang-undang itu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, ibu bapa dan majikan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
"Dalam iklan itu juga boleh dinyatakan hukuman berat yang bakal dikenakan jika melanggar rang undang-undang ini jika diwartakan kelak, menteri tidak bolehlah hanya mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen sahaja untuk menyalurkan maklumat," katanya.

No comments:

Post a Comment