BAGAN DATOH 26 Feb. - Keluarga Kamalia Kamaruzzaman, 16, yang menderita penyakit leukemia sejak tahun lalu, merayu bantuan orang ramai untuk menanggung kos rawatannya.
Menurut bapa Kamalia, Kamaruzzaman Sulaiman, 44, sejak menghidap penyakit itu, seluruh anggota badan anaknya lemah.
"Rambut Kamalia sering gugur dan hidung serta mulutnya juga kerap berdarah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Tiang Darat, Selekoh dekat sini, hari ini.
Menurut Kamaruzzaman, dia memerlukan RM700 sebulan untuk perbelanjaan rawatan ubat anaknya.
"Saya orang susah dengan berniaga menjual nasi campur di gerai tepi jalan dan pendapatan RM600 sebulan.
"Hasil pendapatan itu digunakan untuk menanggung tujuh orang anak masih bersekolah dan ia tidak mencukupi," katanya sambil menambah sejak anaknya sakit, pendapatannya terjejas kerana tidak dapat berniaga.
Beliau pernah mengemukakan permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi masih belum mendapat jawapan.
Sehubungan itu, Kamaruzzaman berkata, dia merayu mana-mana pihak untuk membantu meringankan bebannya mengubati penyakit leukemia yang dihadapi anaknya.
Ibu Kamalia, Siti Mahfuzah Mohd. Bakin, 40, berkata, anak ketiga daripada tujuh beradik itu memerlukan perhatian dan bantuan bagi merawat penyakitnya itu.
"Saya sedih apabila melihat Kamalia sering menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialaminya," ujarnya.
Sementara itu, Kamalia yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Razak, Selekoh berkata, setiap hari dia menangis kerana tidak mampu menahan kesakitan.
"Saya menangis kerana tidak mahu mati sebaliknya mahu terus menolong ibu bapa saya.
"Saya sering berdoa memohon supaya Allah dapat menyembuhkan penyakit saya bagi membolehkan saya berbakti kepada orang tua saya," katanya.
No comments:
Post a Comment