Thursday, November 11, 2010

Enggan ulas dakwaan mempunyai ijazah Sarjana dan Ph.D palsu




Terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan balas mengenai pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berhubung kelayakan akademik penyanyi Fazley Yaakob. 

Laporan BBC menyebut Fazley mendakwa mempunyai kelulusan daripada European Business School tetapi ia sebenarnya adalah palsu. 

“Buat masa ini saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa mendapat kebenaran Ahli Lembaga Pengarah Fazley International Collage (FIC). 

“Bagaimanapun, apa yang boleh dikatakan, perbincangan bersama telah cuba dibuat dan kami cuba menyelesaikan masalah yang timbul, " katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). 

Kontroversi mengenai status ijazah kedoktoran dan status kerjasama antara FIC dan Universiti of Wales tercetus apabila BBC mendedahkan bahawa kelayakan ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) yang diterima Fazley dari European Business School Cambridge tidak diiktiraf. 

Dorongan daripada kes itu, University of Wales menggantung penglibatan mereka dengan FIC dan tidak akan mengambil mana-mana pelajarnya untuk belajar dalam bidang MBA dan pengurusan perniagaan sehingga siasatan selesai. 

Bagaimanapun, Fazley menjelaskan, buat masa ini semua pelajar yang masih dalam pengajian di FIC tidak terjejas oleh prestasi arbritasi dan rujukan semula. 

“FIC yakin spekulasi ini akan terungkai dan tamat sebaik sahaja pemahaman menyeluruh mengenai perkara ini difahami dengan jelas oleh semua pihak,” katanya. 

Menyentuh tentang status gelarannya, Fazley berkata, dia sudah lama tidak menggunakan gelaran Dr setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan pengiktirafan diterimanya. 

“Saya tidak menerima ijazah PhD, sebaliknya menerima ijazah ‘Doctor of Business Administration’ (DBA) yang boleh membawa gelaran Dr,” katanya. 

Ketika diminta mengulas mengenai reputasinya yang mungkin terjejas selepas isu ini, Fazley berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai. 

“Saya akan membuat kenyataan penuh selepas segala siasatan melalui pihak yang benar (legal) selesai. 

"Kemudian terserah kepada masyarakat untuk menilai apa yang telah saya katakan nanti. Saya berani dan yakin kerana di pihak yang benar,” katanya yang akan mengadakan sidang media khas berhubung isu itu pada masa terdekat.

No comments:

Post a Comment