Thursday, June 2, 2011

50 PATI ditahan Imigresen Perak




SEORANG wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) menangis ketika ditahan Imigresen Perak pada Operasi Zon Utara 2 di Taman Botani, Ipoh, semalam.


IPOH 1 Jun - Seramai 50 buruh warga asing ditahan Jabatan Imigresen negeri dalam serbuan di beberapa tapak pembinaan sekitar Taman Botani di sini hari ini.
Mereka yang kebanyakannya sedang leka menyiapkan kerja-kerja masing-masing tidak mampu berbuat apa-apa sebaik sahaja diserbu kira-kira 69 pegawai imigresen.
Dalam kejadian itu, seorang buruh wanita warga Indonesia tidak dapat menahan emosinya sambil meraung-raung meminta dilepaskan oleh pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Mohd. Shukri Nawi berkata, siasatan awal mendapati, kesemua buruh binaan itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan mereka.
"Antara yang ditahan itu termasuk pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia. Mereka akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, operasi tersebut merupakan sebahagian operasi bersepadu 'Ops Zon Utara' melibatkan lebih 200 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Katanya, selain di tapak pembinaan itu, operasi tersebut turut diadakan di tiga lagi lokasi lain di negeri ini iaitu Teluk Intan, Manjung dan Pengkalan Hulu.
"Kita akan meneruskan operasi sebegini dari semasa ke semasa dan memberi amaran kepada semua pemilik tapak pembinaan agar tidak menggunakan khidmat buruh asing yang tidak mempunyai permit," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment