Sunday, November 21, 2010

Jemaah haji siap sedia untuk pulang



BERIBU-RIBU jemaah haji melakukan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah di Mekah, semalam. - REUTERS


MEKAH 20 Nov. - Musim haji secara rasminya berakhir, semalam setelah 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia selesai menunaikan tawaf di Kaabah dan saie di Masjidil Haram.
Sementara itu, sebahagian jemaah daripada beberapa negara telahpun pulang hari ini, manakala yang lainnya masih berada di Mekah dan sebahagian lagi menuju ke Madinah untuk melawat Masjid Nabawi dan melakukan ibadat di sana.
Sebahagian lagi pula mengambil kesempatan untuk membeli-belah di bazar-bazar di kota suci ini sebelum pulang.
Musim haji tahun ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden buruk. Pada peringkat awal, jemaah haji berdepan cabaran ekoran cuaca panas, terutama di Mekah, Arafah dan Mina.
Namun, ketika jemaah selesai melakukan wukuf di padang Arafah, hujan lebat di Mina dan Mekah petang kelmarin menyebabkan berlaku banjir kilat menenggelami jalan-jalan raya dari Mina ke Mekah dan juga banjir di kota suci itu.
Statistik kerajaan Arab Saudi menunjukkan kira-kira 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan haji pada tahun ini, meningkat daripada anggaran asal sebanyak dua juta jemaah.
Daripada jumlah itu, seramai 1,799,601 adalah jemaah asing dan 989,798 lagi adalah jemaah tempatan, menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 2,789,399. Peningkatan berlaku ekoran kebanjiran jemaah haji tanpa permit.
Jumlah jemaah haji Malaysia pula ialah seramai 26,000 orang yang tiba dengan penerbangan pertama sejak 9 Oktober lalu. Setakat ini, seramai 22 jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia di tanah suci Mekah.
Penerbangan pertama membawa pulang jemaah haji Malaysia dijadual pada 22 November ini, manakala penerbangan terakhir pada 21 Disember. - AGENSI

No comments:

Post a Comment