Monday, August 9, 2010

Sekolah remaja hamil: Jawatankuasa pelaksana ditubuh


MELAKA 8 Ogos - Bagi menyegerakan penubuhan sekolah remaja hamil di negeri ini, kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pelaksana untuk menggerakkan operasinya yang dijadual bermula September ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa khas itu menumpukan kepada kesesuaian peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, sekolah itu akan beroperasi dalam bangunan yang hanya dikhaskan oleh kerajaan negeri dan tidak melibatkan sekolah agama atau sekolah awam lain.
"Bagaimanapun, sebelum sekolah khas ini beroperasi, jawatankuasa yang baru ditubuhkan ini mengkaji kesesuaian dan memastikan penubuhannya memenuhi keperluan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Forum Khas Menangani Gejala Sosial peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Antara ahli panel yang terlibat dalam forum itu ialah Mufti negeri, Datuk Wira Rashid Redza Md. Salleh; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Mozaimi Mohamad.
Turut hadir pada sesi dialog tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekolah Remaja Hamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim.
Mohd. Ali menambah, biarpun sekolah itu ditubuhkan bagi memberi perlindungan dan pembelajaran kepada remaja hamil namun tindakan undang-undang tetap dikenakan terhadap mereka.
Sementara itu, kata beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti modul pembelajaran yang sesuai dipraktikkan di sekolah khas tersebut.
"Modul pembelajaran yang akan diajar di sekolah khas itu mengikut modul pendidikan kebangsaan sedia ada atau kita boleh menyediakan pengajian agama kepada mereka dalam tempoh setahun," katanya.

No comments:

Post a Comment