Oleh Suriana Halim Tan
bhkt@bharian.com.my
2010/08/10
Penduduk di penempatan bekas pekerja lombong rayu kediaman kos rendah BUKIT BESI: Faktor kemiskinan dan ruang rumah yang sempit menyebabkan penghuni rumah kayu dua bilik di penempatan lebih 500 bekas pekerja lombong bijih besi di sini, terpaksa bersesak kerana didiami dua atau tiga keluarga.
Tanah yang terhad untuk membina rumah menyebabkan generasi kedua dan ketiga anak bekas pekerja lombong bijih besi terpaksa tinggal bersesak menumpang ibu bapa mereka yang suatu ketika dulu menikmati kehidupan makmur di bandar bijih besi itu.Tinjauan Edisi Timur ke kawasan itu, mendapati sebahagian besar rumah di penempatan itu mempunyai sekurang-kurangnya dua keluarga dan hidup serba kekurangan.
Penduduk, Roslan Taib, 48, berkata penduduk berharap kerajaan memberi perhatian kepada masalah mereka dan mengambil langkah mengatasinya dengan membina projek rumah kos rendah untuk dimiliki generasi kedua pekerja lombong itu secara sewa beli.
“Perumahan adalah perkara paling asas untuk pembinaan sebuah institusi keluarga yang harmoni dan produktif. Walaupun, kami tidak lagi bekerja di lombong bijih besi, sekurang-kurangnya pengorbanan orang tua kami mencurah keringat untuk kemakmuran negeri di lombong itu dihargai.
“Janganlah apabila lombong ini ditutup, kehidupan kami juga dilupakan agensi berkaitan. Kami harap Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) cakna dengan rintihan kami,” katanya yang terpaksa menumpang rumah orang tuanya dibeli daripada agensi itu.
Roslan yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dungun berkata, orang ramai berharap kerajaan membuka penempatan baru menerusi pembinaan rumah kos rendah untuk generasi kedua dan ketiga di kawasan itu seiring dengan pertambahan penduduk.
Pekerja sendiri, Shamsul Sharizal Mohd Rali, 32, berkata sudah empat tahun dia menumpang di rumah ibu bapanya, walaupun sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak.
Katanya, dia berusaha mencari rumah untuk di sewa di sekitar kawasan itu, tetapi tiada yang sesuai dengan kemampuannya menyebabkannya tiada pilihan selain tinggal dengan orang tua.
“Mana kami mampu menyewa banglo atau teres mewah dengan pendapatan kecil sebegini. Sampai bila kami perlu menumpang di rumah ibu bapa, sedangkan saya masih lagi mempunyai dua adik perempuan,” katanya.
Penduduk asal, Osman Abdullah, 57, berkata rumahnya sudah tidak mampu menampung bilangan ahli keluarganya yang terlalu ramai, sehinggakan ruang dapur dijadikan tempat tidur.
“Tiga anak yang sudah berkahwin masih menumpang di rumah saya kerana masih tidak mempunyai rumah dan tanah untuk dijadikan tempat berteduh,” katanya sambil menambah empat anak, tiga menantu dan lima cucu terpaksa duduk dalam keadaan tidak selesa serta berhimpit-himpit di rumahnya.
“Kami memohon ihsan kerajaan agar mendirikan perumahan di sini yang dijual kepada penduduk pada harga termampu supaya lebih ramai kalangan berpendapatan rendah dapat membina keluarga sendiri dengan selesa,” katanya.
No comments:
Post a Comment