Wednesday, December 29, 2010

Mahkamah benarkan bekas Mufti Perlis merayu



Asri Zainul Abidin di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 28 Dis. - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah pemindahan kes mengajar agama Islam tanpa tauliah yang dihadapinya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Md. Yusup Che Teh memutuskan demikian sebulat suara dengan alasan ia melibatkan persoalan undang- undang yang membabitkan kepentingan awam.
Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Syarie Md. Yusup, mahkamah berpuas hati bahawa Mohd. Asri mempunyai asas untuk merayu terhadap keputusan pemindahan kesnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Menurut beliau, panel hakim juga bersetuju bahawa kuasa Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk memindahkan kes memberi kesan kepada pemohon serta kes-kes akan datang yang turut melibatkan kepentingan awam.
''Mahkamah setuju bahawa isu kepentingan awam serta kuasa Ketua Pendakwa Syarie dalam kes ini perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.
''Dengan itu mahkamah sebulat suara meluluskan permohonan pemohon untuk merayu. Notis rayuan hendaklah difailkan dalam masa 14 hari,'' katanya.
Mohd. Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah rumah di Lorong 2C Taman Seri Ukay, Ampang antara pukul 8.10 malam dan 9.45 malam, 1 November tahun lepas.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan jika sabit kesalahan, Mohd. Asri berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam prosiding yang sama menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Kes tersebut kemudian diperintahkan dipindah dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mahkamah tersebut menerima permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rendah Syariah.
Berikutan itu, Mohd. Asri memfailkan permohonan untuk merayu terhadap keputusan tersebut mengikut Seksyen 67 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

No comments:

Post a Comment