Friday, May 27, 2011

Empat rumah tenggelam


SAMSUDIN menunjukkan tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung yang kini sebahagian daripada lautan.
SAMSUDIN menunjukkan tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung yang kini sebahagian daripada lautan.

Kampung Sungai Burung dilanda hakisan melampau

BAGAN SERAI: Hakisan pantai yang teruk di pesisir Selat Melaka, menenggelamkan empat rumah di Kampung Sungai Burung dan kawasan 400 hektar hektar di Tanjung Piandang, dekat sini, menyebabkan empat pemilik rumah berpindah ke lokasi baru tidak jauh dari situ.
Keadaan itu bukan saja menyedihkan penduduk kerana tapak asal rumah mereka `hilang’, malah penempatan sedia ada berdepan masalah sama jika tiada tindakan susulan bagi mencegah hakisan.
Bekas nelayan, Samsudin Ali, 75, berkata tapak rumahnya di Batu 11, Kampung Sungai Burung kini menjadi lautan.

“Jika nak tahu tapak rumah pertama saya, lihat ke sana," katanya sambil menuding jari ke arah laut di kampung itu.

Beliau berkata, rumah pertamanya itu yang dibina 50 tahun lalu berada 200 meter dari pantai yang ada ketika ini.

"Kawasan yang kini sudah menjadi laut itu pernah dipenuhi pokok api-api. Ada empat rumah nelayan di situ. Kawasan hutan itu dan rumah kami dihakis dan ditenggelami air laut sekitar 1990-an," katanya.
Samsudin dan penduduk kampung terpaksa membina semula rumah masing-masing. Rumah dihuni Samsudin kini hanya kira-kira 20 meter dari pantai berkenaan yang sudah ditambak dengan batu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai langkah mencegah hakisan.

Tinjauan di kampung itu yang turut dipanggil penduduk sebagai Ban Pecah, mendapati struktur batu membentuk seperti pulau kecil jelas kelihatan kira-kira 500 meter dari pantai. Struktur itu dulunya benteng menghalang hakisan dan mencegah air laut memasuki kawasan penempatan.

Nelayan, Sharudin Ahmad Salim, 28, berkata jika air surut, pintu air lama dapat dilihat, iaitu 1.6 kilometer dari pantai.

"Masih ada akar pokok kelapa terlekat pada pukat dan ini juga bukti kawasan ditenggelami air laut itu dulunya kawasan penempatan," katanya.

Sementara itu, Kampung Baru Nelayan Tanjung Piandang turut menerima kesan hakisan. Air laut ‘menelan’ tiga kilometer kawasan daratan yang dipenuhi pokok api-api yang sebelumnya zon penampan.

Bekas struktur kayu penyokong paip air yang dulunya dibina di daratan bagi kegunaan kolam ternakan udang sudah rosak akibat hakisan.

Nelayan, Abdul Latiff Hakim, 43, berkata suatu ketika dulu, kawasan pantai dipenuhi pokok api-api, tetapi kini sebahagian besarnya lenyap.

"Dulu kita perlu berjalan kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tepi laut, tetapi sekarang, buka saja pintu rumah sudah nampak laut.

"Kawasan daratan ditelan laut akibat ombak kuat terutama ketika musim 'alun panjang' antara Julai hingga September setiap tahun.

"Sebenarnya, panjang pesisir pantai terjejas boleh mencecah kira-kira 10 kilometer iaitu hingga ke Kuala Kurau," katanya.

Ketua UMNO cawangan kampung itu, Harun Sidi, 52, berkata penduduk risau banyak kawasan daratan ditenggelami laut, tetapi lega apabila JPS meletakkan batu di pesisir pantai bagi mengelak atau mengurangkan hakisan.

"Jika batu ini tidak diletakkan di sepanjang pantai, saya rasa kampung ini juga sudah tiada lagi," katanya. Berita Harian Online | Empat rumah tenggelam

No comments:

Post a Comment