Sunday, March 28, 2010

Kami tidak bermusuh dengan sesiapa - Ibrahim Ali



KUALA LUMPUR 27 Mac - Parti politik di negara ini akan rugi sekiranya mengambil sikap bermusuh dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan bukannya ditubuhkan untuk bermusuh dengan mana-mana pihak.
"Tetapi segelintir pihak kini cuba mengaitkan Perkasa dengan UMNO. Mereka kata Perkasa mahu bersaing dengan UMNO. Kami tidak bersaing kerana Perkasa tidak bertanding dalam pilihan raya.
"Tetapi, parti-parti politik juga tidak boleh bermusuh dengan Perkasa kalau mahu menang pada pilihan raya nanti. Kalau bermusuh, mereka akan rugi," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa kali pertama yang dirasmikan Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyarankan kepada UMNO supaya kembali kepada landasan perjuangan yang asal sekiranya parti itu mahu kekal berkuasa.
"UMNO adalah satu-satunya parti Melayu yang memperjuangkan Melayu, maka ia mesti tegas mengenai kepentingan dan tuntutan Melayu," katanya.
Di samping itu beliau berkata, apa yang menyedihkan, terdapat juga parti Islam yang menjual agama demi kepentingan diri sendiri sehingga sanggup diperkudakan.
"Ada pemimpin Melayu yang dianggap hebat, kita tahu siapa orangnya, yang menjadi dalang sehingga menimbulkan masalah sekarang ini dan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan orang Melayu.
"Tokoh ini nampaknya disokong oleh beberapa kerat pemimpin Amerika Syarikat, Australia dan satu dua negara Islam liberal," katanya.
Ibrahim pada masa yang sama turut mengajak orang Melayu supaya insaf, sensitif dan tegas dalam menentang 'Malaysian Malaysia' kerana sasaran utama konsep ini adalah umat Islam, Melayu dan bumiputera terutama mengenai hak istimewa di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Lebih serius lagi jika dianalisis secara lebih mendalam, Malaysian Malaysia juga disasarkan kepada agama Islam, institusi raja-raja Melayu dan bahasa Melayu yang kesemuanya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Sementara itu, Ibrahim meminta syarikat milik kerajaan (GLC) supaya menyokong akhbar arus perdana berbahasa Melayu dengan mengiklankan produk keluaran mereka di akhbar berkenaan bagi meningkatkan ekonomi orang Melayu.
Kata beliau, sikap kebanyakan GLC yang lebih gemar memilih akhbar berbahasa Inggeris untuk mengiklankan produk mereka tidak akan membantu perkembangan syarikat orang Melayu.
"Jadi, saya pohon kepada Tun Dr. Mahathir yang juga Penasihat Proton untuk melihat perkara ini supaya GLC memainkan peranannya untuk membantu orang Melayu dan syarikat bumiputera," katanya.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, beliau mahu NGO Melayu membuat pemantauan, penelitian dan bersuara melihat bagaimana peranan GLC dalam membantu syarikat-syarikat bumiputera dan orang Melayu.
''Sekiranya perlu berhimpun, kita akan berhimpun secara aman bagi memastikan GLC benar-benar memainkan peranan membantu syarikat dan orang Melayu.
''Selain GLC, Perkasa dan NGO Melayu yang lain juga akan memantau soal pendidikan negara terutamanya di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT),'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment