Monday, April 26, 2010

Banyak lompat, elok bubar DUN


- ABDUL AZIZ BARI

Laporan Bernama Isnin lalu menyebut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah jika keluar atau lompat parti terus berlaku. 

Akhir-akhir ini begitu ramai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari PKR yang berbuat demikian. Bermula dari apa yang berlaku di Perak awal tahun lalu sehingga menumbangkan Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin ia diikuti tindakan keluar parti di DUN Kedah dan Parlimen; kesemuanya melibatkan anggota-anggota PKR. 

Kenyataan Azizan itu timbul berikutan tindakan ahli DUN Batu Arang, Tan Wei Shu, meninggalkan PKR dan menjadi ahli bebas. Sebelum itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohamad Radzhi Salleh, juga dari PKR juga berbuat demikian. 

Buat masa ini di DUN Kedah, Pas memiliki 16 kerusi manakala PKR 3 dan DAP 1. UMNO memiliki 14 kerusi; termasuk kerusi DUN Bukit Seputeh yang dipertikaikan itu. Dalam Perlembagaan; khususnya Perkara 39(2)(b) Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, kuasa memperkenan atau sebaliknya pembubaran DUN terletak di tangan sultan. Pada hakikatnya ini sama sahaja dengan kedudukan di peringkat persekutuan dan negeri-negeri lain. Dalam kata lain kuasa Yang di-Pertuan Agong, sembilan Raja dan empat Yang di-Pertua Negeri sama sahaja. 

Justeru apabila Azizan berkata beliau akan membubarkan DUN maka ia bermakna Menteri Besar Kedah itu akan menyembah memohon perkenan Sultan supaya Dewan dibubarkan. Di sisi undang-undang kuasa ketua negara atau ketua negeri – walaupun kelihatannya mutlak kerana disebut budi bicara – sebenarnya adalah satu amanah. Ini bermakna Perlembagaan memberi tugas kepada ketua negara atau ketua negeri itu membuat keputusan yang terbaik untuk negeri. Oleh sebab itulah Suruhanjaya Reid sendiri dalam laporannya mengatakan bahawa kita perlu merujuk kepada pengalaman di seluruh Komanwel dan belajar daripadanya. Hal ini juga terpakai dalam soal kuasa speaker Dewan, baik di Parlimen mahupun di DUN. 

Salah satu alasan yang membenarkan ketua negara atau ketua negeri menolak permintaan membubarkan Dewan ialah apabila di sana ada kemungkinan untuk membentuk kerajaan tanpa mengadakan pilihan raya. Sebagai contoh kalaulah UMNO dapat menarik bilangan ADUN yang cukup untuknya menjadi kumpulan majoriti dalam Dewan, maka ketua UMNO di situ bolehlah dilantik sebagai menteri besar dan bolehlah permohonan membubarkan DUN oleh Azizan ditolak. Pada hakikatnya inilah yang berlaku di Perak awal tahun lalu. 

Walaupun apa yang dilakukan di Perak itu tidak salah ia tidak semestinya tepat dan betul dalam keadaan sekarang. Ini kerana kita mesti ingat formula yang dikemukakan para sarjana perlembagaan itu dibuat berdasarkan keadaan dan senario tahun awal 1900an. Waktu itu tidak ada internet atau telefon bimbit seperti sekarang. 

Dalam kata lain meskipun kuasa itu masih sama cara bagaimana ia harus digunakan sudah berlainan. Kita juga tidak harus lupa tentang kedudukan dan peranan dan ketua negeri; yakni mereka perlu berada atas politik kepartian atau kata lain, mereka tidak harus mengambil keputusan dan tindakan yang akan menyebabkan dituduh berat sebelah serta mempunyai kepentingan. 

Sebelum terjadinya tragedi politik di Perak, saya sendiri tidak terfikir soal itu. Setelah berlaku kekecohan dan perbalahan yang berlarutan sehingga sekarang barulah saya nampak segi dan aspek lain yang perlu diberi perhatian dalam soal pembubaran Dewan ini. 

Satu lagi sebab mengapa pembubaran Dewan ini tidak diberikan kepada kerajaan yang memerintah dan diletakkan di tangan ketua negara atau negeri kerana ia lebih adil. Selain itu pilihan raya adalah mahal dan memakan masa, justeru perlu dielakkan. 

Bagaimanapun dalam keadaan sekarang alasan-alasan itu tidak selamanya betul. Melihat kepada perkembangan terbaru di negara-negara Westminster yang maju – khususnya United Kingdom – adalah jelas apabila rakyat diupayakan – yakni diberi peluang bersuara – keputusan lebih tepat boleh diambil. Penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan juga tidak berlaku. Sebab itu di Britain tidak timbul perdebatan atau 'suspend' tentang bila pilihan raya akan diadakan. Ratu Elizabeth juga tidak kelihatan memainkan peranan meskipun di sisi undang-undang kedudukan baginda sama dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri. 

Mengambil kira ini semua saya fikir Azizan membuat kenyataan yang betul: pulangkan kepada rakyat. Hari ini tidak sukar untuk kita mengetahui apa rakyat mahu: minta mereka hantar SMS. Kita tidak mahu kerajaan yang ada digelar kerajaan istana atau kerajaan mahkamah. Perlembagaan sendiri – baik persekutuan mahupun negeri – menuntut kerajaan yang memerintah bertanggungjawab kepada Dewan yang merupakan himpunan wakil-wakil rakyat. 

Memulangkan isu ini kepada rakyat saya fikir akan menyelesaikan masalah lompat parti yang tak habis-habis diperdebatkan. Bukan soal ia halal atau tidak di sisi undang-undang, tetapi kerana ia tumpul dan memenatkan minda. Kita banyak kerja lain yang perlu diselesaikan. 



** Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang lebih 20 tahun.

No comments:

Post a Comment