Monday, May 10, 2010


10,000 sertai Melayu Bangkit



KUALA TERENGGANU 9 Mei – Kira-kira 10,000 orang termasuk ahli-ahli 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka menyertai program Melayu Bangkit untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.
Program anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) dengan kerjasama Institut Integriti Terengganu itu dianjurkan dalam usaha menyatupadukan orang Melayu yang semakin renggang dan membangkitkan kesedaran orang Melayu terhadap hak mereka.
Pengerusi Gertak, Razali Idris berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) akan menyampaikan ucaptama pada majlis itu yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak di sini pada 13 Mei ini.
Menurutnya, pada majlis itu turut akan diselitkan ialah pembacaan sajak ‘Melayu Bangkit’ oleh Ibrahim Mohamad dengan loghat Hulu Terengganu serta sesi soal jawab.
‘‘Kehadiran Dr. Mahathir akan disambut dengan perarakan oleh tujuh persatuan silat dengan diiringi gendang Melayu. Sehubungan itu, orang Melayu dijemput untuk bersama-sama menghayati ucapan beliau,” katanya di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Institut Integriti negeri, Arifin Deraman.
Menurut Razali, program itu merupakan program kedua Gertak selepas membangkitkan mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam baru-baru ini.
Beliau berkata, tarikh 13 Mei dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku pada tarikh tersebut.
Sementara itu Arifin berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran terutama kepada belia Melayu tentang peranan mereka memperkasakan masyarakat Melayu dalam era globalisasi.
Beliau berharap program itu menjadi pencetus motivasi kepada golongan muda kerana mereka merupakan bakal pemimpin pada masa depan.

No comments:

Post a Comment