SEREMBAN 11 Mei - Kira-kira 257 pembeli rumah kos rendah dan sederhana di Taman Pelangi, Sikamat di sini mampu menarik nafas lega apabila menerima kunci rumah masing-masing hari ini sekali gus mengakhiri penantian mereka selama 20 tahun.
Projek berkenaan telah terbengkalai pada tahun 1990 ketika pembinaan baru siap pada tahap 55 hingga 80 peratus, sebelum diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 2007.
Sehubungan itu, SPNB telah mengambil inisiatif untuk membaik pulih projek tersebut dengan menyiapkan 320 rumah jenis kos rendah dan sederhana di taman berkenaan seluas 11.3 hektar yang menelan kos sebanyak RM9.8 juta.
Seorang pembeli, Rojeah Abdullah, 46, berkata, dia berasa gembira dan bersyukur kerana penantian 20 tahun untuk memiliki rumah berkenaan akhirnya menjadi realiti.
''Saya rasa lega sangat kerana rumah yang saya beli 20 tahun lalu sudah siap dan sudah boleh didiami.
''Tempoh 20 tahun terlalu lama. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya SPNB kerana mengambil berat terhadap nasib rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Penduduk Taman Pelangi, Sikamat di sini hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan dan disempurnakan oleh Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron.
Menurut seorang lagi pembeli, Chong Ying Fong, 26, sukar untuk dia menggambarkan perasaan sebaik dimaklumkan rumah yang dibeli bapanya 20 tahun lalu kini sudah siap.
''Mungkin gembira dan juga sedikit sedih. Ini kerana, rumah ini dibeli oleh bapa saya pada tahun 1990 ketika saya berusia enam tahun.
''Tetapi apa yang menyedihkan, bapa saya tidak sempat untuk tinggal di rumah ini kerana dia telah meninggal dunia," jelasnya.
Seorang lagi pembeli, P. Selvam, 53, berkata, dia tidak sangka berpeluang untuk memiliki rumah berkenaan selepas ditinggalkan terbengkalai untuk satu tempoh yang lama.
''Buat masa ini, saya masih menetap di Kuala Lumpur dan akan berpindah ke sini sebaik sahaja bersara dalam tempoh dua tahun lagi.
''Saya berasa amat lega dan gembira setelah dimaklumkan rumah ini telah siap dibina dan sedia untuk didiami," jelasnya.
No comments:
Post a Comment