Wednesday, May 12, 2010

Nur Amnie perlu bantuan segera





NUR Amnie menderita jantung berlubang bersama ibu bapanya, Bakar Kuinin dan Norali Basri di Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD ZAID ADNAN


KUCHING 11 Mei - Pertama kali bertemu dengan Nur Amnie Bakar dari Kampung Malaysia Jaya di sini, dia kelihatan seperti kanak-kanak normal lain yang ceria dan mudah didekati.
Namun di sebalik riak ceria kanak- kanak berusia empat tahun itu, dia sebenarnya menanggung penderitaan akibat penyakit jantung berlubang dan saluran darah sempit sejak dilahirkan.
Akibat penyakitnya itu, badan Amnie selalu kebiru-biruan dan pergerakan anak bongsu daripada empat beradik berkenaan terbatas bagi mengelak dia mudah diserang lelah sekiranya terlalu aktif bergerak.
Selain itu, anak kepada pasangan Bakar Kuinin, 50, dan Norali Basri, 38, itu juga mudah diserang demam selesema yang berlarutan jika terdedah pada keadaan cuaca melampau yang mengambil masa selama dua minggu untuk pulih.
Bagaimana setelah empat tahun menanggung derita, tibalah masa bagi Amnie menjalani pembedahan kerana doktor pakar yang merawatnya selama ini memberitahu lubang jantungnya semakin membesar dan saluran darahnya semakin mengecil.
Justeru, Amnie dijadualkan mengalami pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada penghujung bulan ini bagi menutup lubang jantung itu dan membesarkan saluran darahnya.
Namun bagi ibu bapa Amnie, kos pembedahan yang dianggarkan melebihi RM30,000 itu ibarat tembok penghalang bagi mereka untuk melihat anaknya kembali sihat seperti kanak-kanak lain
Menurut Norali, dia dan suaminya hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM700 sebulan sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu menyara tiga lagi anak yang masih bersekolah.
Katanya, suaminya terpaksa berhenti kerja sejak tiga bulan lalu bagi menjaga anaknya itu yang masih bergantung pada ubat 'propranolol' yang perlu dimakan tiga kali setiap hari bagi mengelak warna badannya bertukar menjadi kebiru-biruan.
''Justeru saya amat berharap keprihatinan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan anak dan kos penginapan serta makan minum kami berdua sepanjang berada di Kuala Lumpur.
''Saya tidak mempunyai saudara di Kuala Lumpur untuk menumpang walaupun pihak kebajikan sosial Hospital Umum Sarawak (HUS) sedia membantu kami dua beranak terbang ke Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Norali memberitahu, setakat ini dia hanya menerima bantuan RM624 daripada Tabung Baitulmal Sarawak namun jumlah itu tidak mencukupi.
Katanya, pendapatannya sebagai pembantu restoran yang bekerja dari pukul 7 pagi hingga 3 petang juga tidak mencukupi bagi membiayai kos pembedahan Amnie.
''Saya harap dengan sumbangan itu akan membantu menyelesaikan masalah Amnie kerana apa yang saya dan suami mahu hanyalah untuk melihat dia dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Norali di talian 012-8767324 atau 082-447817.

No comments:

Post a Comment