Wednesday, May 26, 2010

Anak Samy Vellu jangan biadab



PAGOH - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegur anak Presiden MIC, S Samy Vellu iaitu, S Vell Paari agar tidak bertindak biadab dengan menuduh UMNO sebagai ‘pembunuh politik’ yang memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional itu. 

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, tindakan Vell Paari itu perbuatan yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab. 

“Saya percaya Samy Vellu boleh menasihatkan anak beliau agar tidak mengeluarkan kenyataan seperti ini dengan mudah dan terlepas cakap yang menyentuh perasaan kepimpinan parti-parti yang lain” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama warga pendidik Daerah Muar dan Ledang sempena Hari Guru 2010, di sini. 

Muhyiddin turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa UMNO terlibat dalam menggulingkan Presiden MIC itu seperti yang didakwa Vell Paari yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat MIC. 

Beliau melihat kenyataan Vell Paari itu mempunyai ‘kepentingan’ kerana jawatan yang disandang bapanya. 

Beliau, kepimpinan BN sedaya upaya menjaga kepentingan semua pihak dengan mencari jalan penyelesaian bukannya menambah lebih banyak masalah. 

Vell Paari yang mengeluarkan kenyataan ketidakpuasan mengenai kewujudan desas desus Gerakan Anti Samy Vellu mendapat restu dari kepimpinan Tertinggi UMNO dalam wawancara di laman Free Malaysia Today, kelmarin 

Muhyiddin bagaimanapun tidak mahu memberi komen mengenai kepincangan yang berlaku dalam MIC, kerana ia membabitkan hal dalaman parti dan mengingatkan pucuk pimpinan parti itu membuat keputusan berlandaskan keadilan dan perlembagaan parti.

No comments:

Post a Comment